Edited by tatod at 11-5-2025 03:44 PM
KOTA KINABALU: Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, 31, menjadi penerima Anugerah Ikon Ibu Muda sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Anugerah berbentuk sijil, selempang dan sejambak bunga itu disampaikan isteri kepada Yang di Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin dan disaksikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri dan isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag.
Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabeela Awang Astillah ketika ditemui, berkata pada mulanya beliau berasa seperti tidak percaya apabila dimaklumkan menjadi penerima anugerah itu.
"Pada awalnya, saya macam tidak percaya jadi saya tanya pada pengurusan, mereka mengatakan memang betul saya diberi anugerah (Ikon Ibu Muda). Saya cukup gembira dan ia perasaan yang tidak dapat digambarkan.
"Sudah tentu saya rasa lebih ramai yang layak (menerima anugerah itu) tapi mungkin ini rezeki saya dan juga anak-anak. Saya betul-betul 'speechles' (kehilangan kata-kata) dan mengharapkan semoga saya menjadi ibu yang baik selepas ini.
"Saya percaya saya pun pasti banyak kekurangan dan tidak sempurna sebagai seorang ibu, tapi dengan adanya penghargaan seperti ini, sudah tentu saya mahu buat yang terbaik untuk menjadi ibu terbaik.
"Semangat yang saya dapat untuk meneruskan kehidupan sebenarnya daripada anak-anak saya juga," katanya ketika ditemui, hari ini.
Dalam pada itu, ibu kepada dua orang anak itu turut berkongsi kepada golongan ibu muda khususnya ibu tunggal yang bekerjaya untuk sentiasa mencari masa untuk diluangkan bersama anak-anak.
"Mungkin saya belum berkelayakan sepenuhnya (untuk memberi nasihat) sebab saya pun (ibu) muda tapi sedikit sebanyak saya boleh berkongsi. Sejujurnya bila kita sudah menjadi seorang ibu, kita akan melebihkan anak-anak kita.
"Sebenarnya apa yang mereka perlukan adalah kasih sayang dan sebagai ibu seperti saya ini, di mana saya juga seorang bapa, saya mengutamakan masa kerana untuk anak-anak saya, kewangan bukan keutamaan kerana di usia kecil mereka ini, mereka perlukan 'bonding time'.
"Sebab itulah masa (ketika anak-anak masih kecil) macam ini sangat berharga. Apabila mereka membesar, mereka akan ingat di mana walaupun saya sibuk mencari rezeki tetapi mereka nampak kesungguhan ibu mereka untuk terus selit masa, menggembirakan dan meluangkan masa bersama mereka," katanya.
Sementara itu, Bella turut menyeru kepada semua golongan ibu muda untuk terus memberikan yang terbaik terutamanya kepada anak-anak.
"Kita harus sentiasa mara ke depan dan jangan terlalu memikirkan apa yang akan terjadi kerana itu bukan urusan kita. Kita hanya lalui proses ini dengan tawakal dan berlapang dada.
"Selepas itu, kita serahkan kepada Allah. Apa yang penting kita nikmati setiap detik buat masa ini, apa yang ada dengan kita, kita bersyukur... itu adalah kunci utama," katanya. - BH HARIAN
|