Jurutera ditemukan lemas di Tasik Timah Tasoh
09 Mei 2025 09:45pm

Seorang jurutera ditemukan lemas di Tasik Timah Tasoh, Beseri dekat Padang Besar, petang tadi. Foto hiasan
KANGAR – Seorang jurutera ditemukan lemas di Tasik Timah Tasoh, Beseri dekat Padang Besar, petang tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintenden Sarih Salleh berkata, mayat Muhammad Zamhareer Zulkifli, 25, ditemukan oleh pasukan bomba pada jam 2.45 petang, kira-kira lima meter dari lokasi mangsa dipercayai tenggelam.
“Berdasarkan siasatan awal, pada jam 7 pagi tadi, Muhammad Zamhareer bersama rakannya berusia 24 tahun menaiki bot untuk memancing. Setelah selesai memancing, bot mereka tersangkut di kawasan air cetek.
“Kedua-duanya berusaha menolak bot ke kawasan air yang lebih dalam, namun mangsa tidak sempat menaiki semula bot tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Beliau berkata, usaha rakannya untuk menyelamatkan Muhammad Zamhareer gagal sebelum mangsa tenggelam ke dalam tasik.
Sarih memaklumkan bahawa pihak polis menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 11.40 pagi
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk proses bedah siasat,” katanya. - Bernama
https://www.sinarharian.com.my/article/727631/berita/semasa/jurutera-ditemukan-lemas-di-tasik-timah-tasoh
|