CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 28|Reply: 0

Jiwa kental tanpa tangan

[Copy link]
Post time 24-4-2025 08:01 PM | Show all posts |Read mode


TEMU bual penulis bersama Norfarrah Syahirah Shaari, 37, dan suaminya, Zulfadhli Syahrul, 35, kadangkala 'terganggu' dengan usikan mesra kedua-duanya ketika menjawab soalan dikemukakan.


"Saya hantar teks di media sosialnya pada 2018, kemudian pada 2022 baharu dia memberikan maklum balas. Empat tahun baharu ada maklum balas dari dia (Norfarrah)," cerita Zulfadhli bersulam ketawa ketika berkongsi saat awal perkenalan mereka berdua.


Norfarrah berkata, sebenarnya sejak aktif berkongsi kehidupannya sebagai orang kurang upaya (OKU) di media sosial, dia menerima pelbagai mesej daripada pelbagai individu.


"Saya ini seorang yang hanya membalas pertanyaan mengenai perkara yang boleh memberikan motivasi kepada orang lain dan jika ada mesej yang hanya menyapa 'kosong' memang tidak dilayan.


"Tetapi, tidak tahu mengapa pada 2022, saya membalas mesej dia (Zulfadhli) dan akhirnya selepas setahun pada 2023 kami selamat diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri," katanya.


Norfarrah yang juga penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2020, sebenarnya dilahirkan sejak kecil tidak mempunyai sepasang tangan. Namun, dia membuktikan bahawa kekurangan fizikal itu tidak menafikan untuk dia hidup seperti orang lain.


"Saya pada usia 10 tahun masih tidak boleh menguruskan diri dan perlu meminta bantuan ibu. Namun, ketika mula masuk sekolah menengah, saya mula terfikir sampai bila bergantung harap dengan orang lain untuk menguruskan diri.


"Namun, kemahiran saya untuk menulis menggunakan kaki sudah lama diasah sejak dari sekolah rendah. Cuma untuk melakukan aktiviti harian itu, ibu yang banyak membantu saya," katanya.


Jelasnya, dia juga tidak menuntut di sekolah pendidikan khas kerana ibunya merasakan dia perlu belajar di sekolah harian biasa. Ketika di sekolah rakan-rakan banyak membantu untuk membeli makanan dan menyuapkan makanan.


"Sepanjang kehidupan saya sentiasa dikelilingi orang yang banyak membantu menjadikan saya sedar bahawa perlu melakukan perkara itu sendiri pada masa depan. Jadi, dari semasa ke semasa saya mengasah kemahiran diri.


"Kini saya bukan sahaja boleh menguruskan kehidupan sendiri termasuk memandu kereta, menguruskan hal rumah tangga seperti isteri normal fizikal yang lain dan mempunyai kerjaya. Malah, saya juga mampu melanjutkan pengajian sehingga peringkat universiti," katanya.


Anak kelahiran Bagan Datuk, Perak itu berkata, dia mempunyai Diploma Pentadbiran Awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2023 dan kini berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan sebagai pembantu tadbir (perkeranian dan operasi) di sebuah kolej komuniti.


Jelasnya, di pejabat dia juga dikelilingi rakan-rakan sekerja yang sentiasa memberi sokongan dan tidak pernah melihat kekurangan dirinya sebagai satu halangan untuk mereka menyiapkan tugasan.


"Selain mempunyai diploma, saya juga mengikuti latihan komputer di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan OKU di Bangi, Selangor. Jadi, menerusi pembelajaran di pusat berkenaan banyak membantu saya mengendalikan kerja menggunakan komputer.


"Ketika bekerja, kadangkala rakan-rakan setugas berterima kasih kerana saya banyak mengajar mereka mengenai hal menyiapkan dokumen dan kami amat membantu antara satu sama lain," katanya.


Jelasnya, sebelum berumah tangga, dia banyak menerima dan menghadiri jemputan daripada pelbagai pihak untuk berkongsi pengalaman dan memberi motivasi kepada ramai pihak.


"Cuma selepas berkahwin saya terpaksa menangguhkan dahulu aktiviti membuat perkongsian yang diundang pelbagai pihak. Tetapi, saya mempunyai perancangan untuk meneruskan aktiviti itu kerana ia boleh memberi manfaat kepada orang lain.


"Ketika ini saya hanya banyak berkongsi aktiviti harian saya di media sosial. Malah, saya juga kerap mendapat mesej daripada OKU atau ibu bapa yang mempunyai anak OKU di media sosial yang bertanyakan pelbagai soalan," katanya.


Katanya, sekiranya mendapat soalan daripada pengikutnya berkaitan hal OKU dan memberi motivasi, dia akan menjawab satu persatu. Baginya perkongsian pengalaman yang baik boleh memberikan kebaikan kepada orang lain.


"Sebagai OKU, pastinya saya memahami cabaran dilalui OKU di luar sana dan ibu bapa yang mempunyai anak OKU. Jadi, saya perlu membantu mereka dari segi memberikan semangat.


"Bagi saya, selagi kita mempunyai fikiran yang positif dan berusaha membangunkan diri, tidak ada perkara yang tidak boleh dilakukan walaupun berstatus OKU," katanya.


Ketika sesi temu bual itu, penulis sempat bertanyakan kepada Zulfadhli mengenai tanggungjawab dan cabaran apabila dia mempunyai isteri OKU.


Katanya, Norfarrah adalah isteri yang normal seperti orang lain kerana suri itu boleh melakukan pelbagai tugas sebagai isteri walaupun dihalang untuk melakukannya.


"Contohnya, saya beritahu tidak perlu memasak, membasuh pakaian atau kemas rumah kerana saya yang akan buat. Tetapi, tahu-tahu sahaja dia sudah menyiapkannya.


"Jadi, pada saya dia adalah isteri yang cukup sempurna. Cuma kadangkala biasalah ada emosi turun dan naiknya. Sebagai suami saya perlu pandai memujuk," katanya sambil menyakat Norfarrah.


Bagi Norfarrah, dia sentiasa bersyukur dengan segala anugerah yang diberikan Tuhan kepadanya walaupun bergelar OKU yang tidak mempunyai sepasang tangan.


"Dalam hidup kita ini sebenarnya perlu bersyukur kerana ada orang lain yang mempunyai ujian yang jauh lebih hebat. Misalnya, ketika saya belajar di pusat kemahiran, saya melihat ada rakan OKU yang tidak mempunyai tangan dan kaki.


"Jadi, perkara paling penting ialah semangat untuk berdikari dan sentiasa berfikiran positif," katanya mengakhiri mengakhiri perbualan. - HARIAN METRO


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-4-2025 06:18 AM GMT+8 , Processed in 0.040462 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list