PELAKON Nina Iskandar mengesahkan dia kini seorang janda selepas bercerai dengan bekas suaminya iaitu Azlan Adzanan tahun lalu.
Nina, 34, bagaimanapun menegaskan penceraian itu bukan disebabkan kewujudan pihak ketiga sebaliknya mereka sudah tiada persefahaman sebagai suami isteri.
“Ya, saya sekarang sudah bergelar janda. Sampai bila saya mahu berselindung?
“Sebelum ini kes penceraian kami masih berjalan, jadi saya tak berani nak kongsi kepada peminat dan rakan media.
“Jadi sekarang baru saya boleh jelaskan mengenai status sebenar saya. Kami bercerai tahun lalu,” katanya kepada mStar.
Nina mendedahkan perkara itu ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Serum Bibir Berwarna Skandarl Beauty di St. Giles Boulevard, Kuala Lumpur pada Khamis.
Nina bagaimanapun menjelaskan, mereka sudah tidak tinggal sebumbung sejak pertengahan tahun 2022.
Ditanya mengapa merahsiakan perceraian, Nina menjelaskan dia tidak mahu mengaibkan mana-mana pihak.
“Saya sebenarnya bukan jenis suka mengheboh-hebohkan kerana saya mahu menjaga aib kedua-dua belah pihak selain menjaga perasaan keluarga.
“Malah sebelum ini pun ada media bertanya tapi saya terpaksa kunci mulut sebab proses penceraian masih berjalan,” jelasnya.
Sementara itu, Nina memberitahu dia dan bekas suaminya sepakat mengambil tanggungjawab bersama membesarkan anak lelaki tunggal mereka Aaryan Ar-Rizqin, 5 tahun.
Malah kata Nina, dia sering membawa anak mereka pulang ke Johor bagi bertemu bekas suami dan keluarga agar ikatan silaturahim mereka tidak terputus.
“Alhamdulillah anak saya mengerti keadaan kami walaupun usianya baru 5 tahun.
“Saya bersama bekas suami juga memilih untuk membesarkan Rizain bersama-sama. Saya tidak mahu memutuskan hubungan di antara anak dan ayah.
“Mereka juga bebas untuk berhubung menerusi panggilan video. Saya juga ada bawa dia ke Johor untuk berjumpa dengan bekas suaminya dan keluarga bekas mentua,” ujarnya.
Untuk rekod, Nina mendirikan rumah tangga dengan Azlan atau dikenali sebagai Lan Lebah yang juga penolong pengarah drama pada April 2019. - mStar
|