3 hari hilang, warga emas ditemui maut di kebun getah
Oleh Zuliaty Zulkiffli - April 21, 2025 @ 7:58pm

Mayat lelaki warga emas yang ditemui dalam kawasan kebun getah di Kampung Charuk Kelian, Ulu Pulai, hari ini. - Foto ihsan pembaca
BALING: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu, ditemui maut dalam kebun getah di Kampung Charuk Kelian, Ulu Pulai di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar, berkata petugas Balai Polis Kupang menerima maklumat awam pada jam 11 pagi tadi mengenai penemuan mayat mangsa di kawasan berkenaan.
Susulan itu, beliau berkata, polis bersama pegawai Pusat Kesihatan Daerah bergegas ke lokasi.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua hari lalu.
"Identiti si mati dikenal pasti oleh anaknya yang mengesahkan mangsa adalah bapa dikenali sebagai Eng Lee Mee, 71," katanya ketika dihubungi.
Berdasarkan soal siasat, Azmi berkata, anak warga emas itu memaklumkan sudah membuat laporan di Balai Polis Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Jumaat lalu, berhubung kehilangan bapanya.
Sebelum itu, beliau berkata, warga emas terbabit dikatakan keluar seorang diri dengan memandu sebuah kereta jenis Perodua Axia.
"Anak mangsa memaklumkan bahawa bapanya menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan pelupa (nyanyuk).
"Setakat ini, hasil siasatan polis di lokasi kejadian mendapati kematian mangsa tiada sebarang unsur jenayah.
"Barangan berharga milik mangsa juga masih ada bersama mayat ketika ditemui," katanya.
Azmi berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.
Terdahulu, keluarga mangsa telah menghebahkan kehilangan warga emas itu sejak Jumaat lalu melalui Facebook, kerana bimbang akan keselamatannya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/04/1387375/3-hari-hilang-warga-emas-ditemui-maut-di-kebun-getah
|