
PANTAU: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memantau keadaan banjir di daerah Sook hari ini. Gambar ihsan APM Negeri Sabah
KOTA KINABALU: Seramai 687 mangsa banjir dari 191 keluarga di daerah Nabawan dan Sook ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 4 petang hari ini.
Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, sebanyak lapan PPS dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa yang terjejas banjir.
Di Nabawan, seramai 475 mangsa ditempatkan di enam PPS melibatkan Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan, Dewan Kampung Bahagia, Balai Budaya Kabangawong, Balai Budaya Kampung Sarikan, Balai Budaya Kampung Saupi, dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pandiwan.
Seramai 212 mangsa banjir di Sook turut ditempatkan di dua PPS iaitu 139 orang di Dewan Kampung Membulu dan 73 orang di Dewan SK Pekan Keningau II.
Dalam pada itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Keningau turut memantau secara berterusan keadaan banjir di daerah Sook.
Daripada jumlah keseluruhan mangsa banjir di dua daerah berkenaan, seramai 313 adalah lelaki dewasa dan kanak-kanak manakala seramai 374 mangsa adalah perempuan dewasa dan kanak-kanak.
Jumlah keseluruhan kampung yang terjejas banjir adalah sebanyak 32 kampung termasuk 30 kampung di Nabawan dan dua kampung lagi di Sook.
|