
Anggota APM Limbang melakukan pemantauan di kawasan berisiko banjir di Limbang, malam Jumaat.
LIMBANG: Tiada kenaikan air berlaku di kawasan berisiko banjir di kawasan Batu Danau, kata Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang Kapten (PA) Bonnie Madisun.
Menurutnya, sepasukan anggotanya diketuai Koperal (PA) Mohd Arif Midun melakukan pemantauan di kawasan berisiko banjir bermula jam 9.58 malam Jumaat.
“Pemantauan dijalankan di Sekolah Kebangsaan (SK) RC Kubong, namun tiada kenaikan air di kawasan sekolah dan trend air adalah normal.
“Pemantauan turut dijalankan di Jalan Batu Tiga, Kubong, tiada kenaikan air dan jalan raya boleh digunakan kenderaan kecil, manakala trend air juga normal,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, hasil pemantauan dijalankan mendapati tiada insiden kecemasan berlaku.
Namun demikian, Bonnie menasihati penduduk kampung agar sentiasa peka dan berwaspada dengan keadaan semasa.
|