GERAI Salai Kayangan Jelebu di Bazar Ramadan Kuala Klawang menjual pelbagai jenis gulai salai kegemaran orang ramai di negeri ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Jelebu: Tidak lengkap rasanya juadah berbuka puasa tanpa sajian masak lemak cili api itik, daging, ayam atau ikan salai menggunakan santan pekat.
Ternyata hidangan ikonik Negeri Sembilan itu yang menjadi buruan pengunjung bazar ramadan di daerah ini laris dijual susulan rasanya yang lazat.
Antara yang menarik perhatian adalah gerai Salai Kayangan Jelebu terletak di Bazar Ramadan Kuala Klawang di sini, yang menawarkan pelbagai gulai masak lemak salai antaranya gulai itik, ayam, daging, ikan keli dan tilapia salai.
Walaupun proses menyediakannya rumit berikutan ikan, ayam atau daging perlu melakukan proses salai namun ia tetap dijual kepada orang ramai.
Peniaganya, Nur Azwanie Abd Majid berkata, dia menjadikan masak lemak cili api sebagai menu utama dijual sejak berniaga di bazar ramadan tiga tahun lalu.
Katanya, kebiasaan peniaga lain hanya menjual satu atau dua jenis menu gulai salai namun dia mengambil keputusan menjual lebih dari satu juadah.
"Gulai salai sebenarnya terletak kepada kuahnya, justeru bagi memastikan kuah pekat kami menggunakan banyak santan.
"Biarpun berlaku kenaikan harga santan, namun saya masih mengekalkan harga sama seperti tahun sebelumnya," katanya yang turut mengusahakan gerai makan Salai Kayangan Jelebu di Kampung Batu Serambai di sini.
Nur Azwanie berkata masakan salai bukan sahaja digemari oleh orang Melayu bahkan oleh orang Cina terutama gulai masak lemak itik salai.
Ujarnya itik, daging, ayam dan ikan di salai sendiri dengan bantuan suami dan pekerja.
" Alhamdulillah, menu dijual pada harga yang munasabah ini sentiasa mendapat permintaan. Ada pelanggan yang turut membuat tempahan awal berikutan bimbang lauk habis.
|