Syed Saddiq tamatkan renangan 4km di Langkawi
Oleh Hamzah Osman - Jun 1, 2025 @ 1:59pm

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ceria sejurus tiba di garisan penamat acara renang kategori 4 kilometer sempena Pesta Renang Langkawi (LSF) di Dataran Tanjung Rhu, Langkawi. - Foto NSTP/Hamzah Osman
LANGKAWI: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menamatkan renangan sejauh empat kilometer (4km) dalam masa 2 jam 6 minit 28 saat sempena Pesta Renang Langkawi (LSF) di Dataran Tanjung Rhu hari ini.
Walaupun tidak berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik, ketekunannya menghabiskan perlumbaan mendapat sorakan gemuruh daripada lebih 300 penonton yang hadir.
Kategori 4km itu dimenangi Aiman Moosa Rasheed dari Maldives dengan catatan masa 1:06:54s.
Sementara itu, kesungguhan Ayden Adrean, lapan tahun, anak kepada pelakon dan penyanyi Bella Astillah, memerah kudrat menamatkan renangan 400 meter (m) dengan catatan 16:21s turut mencuri perhatian penonton.
Sepanjang acara berlangsung Bella Astillah dilihat hadir memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada anak sulungnya di lokasi acara.
Pesta renang berprestij anjuran Tough Gorilla dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) itu menyaksikan penyertaan seramai 325 peserta dari 18 negara.
Pelepasan peserta disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA (Perancangan dan Pembangunan), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/06/1403314/syed-saddiq-tamatkan-renangan-4km-di-langkawi
|