KOTA KINABALU: Kadar pengangguran yang masih tinggi di Sabah mendatangkan kebimbangan yang serius meskipun banyak inisiatif dilaksanakan kerajaan.
Ketua UMNO Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, pihaknya tidak menolak usaha yang dijalankan oleh kerajaan.
Namun katanya, sebagai pihak bertanggungjawab, isu pengangguran dan pertumbuhan ekonomi negeri adalah indikator jelas dalam menilai prestasi sebenar kerajaan.
Menurutnya, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Sabah kekal sebagai negeri dengan kadar pengangguran tertinggi di Malaysia.
"Pada suku keempat 2024, seramai 178,000 rakyat Sabah atau 7.7 peratus tidak mempunyai pekerjaan, jauh lebih tinggi berbanding Sarawak (3.3 peratus), Kedah (1.7 peratus) dan Kelantan (3.8 peratus).
"Sabah juga pernah mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia pada 2017 iaitu 8.2 peratus (RM83.8 bilion), mengatasi purata nasional.
"Ini menunjukkan pentadbiran ketika itu berjaya membina asas ekonomi yang kukuh, menarik pelaburan langsung asing, dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kegagalan menyediakan peluang pekerjaan yang berkualiti turut menyebabkan ramai anak muda Sabah berhijrah ke Semenanjung untuk mencari pekerjaan, termasuk yang berpendidikan tinggi.
Sehubungan itu jelasnya, Sabah sedang kehilangan modal insan tenaga mahir dan profesional yang sepatutnya menjadi pemacu pembangunan negeri.
Dalam pada itu katanya, walaupun pandemik COVID-19 memberi impak kepada seluruh negara, negeri-negeri lain telah pulih dengan lebih baik.
Bagaimanapun beliau berkata, Sabah kekal dengan angka pengangguran yang tinggi berikutan projek mega tidak menyentuh rakyat, dan dasar ekonomi masih statik.
"Saya menuntut penjelasan yang jujur, dan bukan sekadar laporan cantik di atas kertas.
"Rakyat Sabah berhak mendapat kepimpinan yang cekap, telus dan berwibawa bukan kerajaan yang terus menekan kehidupan rakyat dengan kelemahan pentadbiran yang berterusan," katanya, sambil menyatakan akan terus menjadi suara semak dan imbang di negeri ini.
|