Edited by sfhzuraz at 21-5-2025 04:32 AM
Pulau Pinang raih RM1.29 bilion hasil 2,000 acara perniagaan
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
20 Mei 2025 10:06am

Wong Hon Wai
GEORGE TOWN – Pulau Pinang mencatatkan anggaran impak ekonomi berjumlah RM1.29 bilion hasil penganjuran 2,059 acara perniagaan sepanjang tahun lalu.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan inisiatif strategik kerajaan negeri dalam memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi utama bagi acara perniagaan bertaraf antarabangsa.
Menurutnya, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan ketara berbanding RM1.03 bilion dengan hanya 604 acara yang direkodkan pada tahun 2023.
“Kejayaan ini adalah hasil pelbagai usaha yang dilaksanakan melalui Penang Convention and Exhibition Bureau (PCEB), termasuk penglibatan bersama Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB) dalam menyertai pameran perdagangan antarabangsa seperti IMEX Frankfurt, The Meeting Show London dan IBTM Barcelona.
“Langkah ini penting bagi memastikan Pulau Pinang kekal relevan, kompetitif dan menarik dalam pasaran acara perniagaan global yang sentiasa berkembang.
“Ia juga membolehkan negeri ini mengikuti trend semasa industri acara di peringkat antarabangsa,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Selasa.
Hon Wai (DAP–Paya Terubong) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Lee Boon Heng (PKR–Kebun Bunga) mengenai usaha dan pencapaian kerajaan negeri dalam menarik acara MICE berimpak tinggi ke Pulau Pinang sejak Ogos 2023.
Tambah beliau, PCEB turut menganjurkan Penang Roadshow to India serta acara berprestij seperti Penang International Travel Exchange (PITE) bagi memperluas jaringan antara pembeli antarabangsa dan pemain industri tempatan.
“PCEB juga melaksanakan program pembangunan industri seperti BE @ Penang yang menyediakan pendidikan dan latihan kepada pengendali persidangan profesional (PCO), pengusaha hotel, ejen pelancongan, syarikat pengurusan acara dan pembekal berkaitan.
“Antara acara antarabangsa yang berjaya dibida dan disokong untuk dianjurkan di Pulau Pinang termasuk World Research Travel Conference 2024, International Advertising Association World Congress 2024, International Conference of Butterfly Exhibitors & Suppliers 2024 dan International College of Dentists Section XV International Conference,” ujarnya.
Tambah Hon Wai, impak ekonomi yang dicatatkan itu menunjukkan peningkatan signifikan berbanding tahun-tahun sebelumnya, iaitu RM375.91 juta (281 acara) pada 2022, RM14.08 juta (77 acara) pada 2021 dan RM66.21 juta (156 acara) pada 2020.
“PCEB berjaya memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi dan menyokong industri pelancongan negeri dengan menjadikan Pulau Pinang sebagai hab utama acara perniagaan di rantau ini,” katanya.
6.5 peratus sudah ditambak untuk Pulau Silikon
GEORGE TOWN- Sebanyak 60.71 hektar tanah atau hampir 6.5 peratus daripada keseluruhan 930.81 hektar keluasan projek Pulau Silikon telah berjaya ditambak sehingga 30 April lalu sejak kerja-kerja penambakan dimulakan pada September 2023.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, projek mega itu melibatkan dua fasa dengan Fasa 1 meliputi kerja tebus guna tanah seluas 510 hektar manakala baki 420.9 hektar akan ditambak dalam Fasa 2.
“Tempoh penambakan dijangka mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun untuk disempurnakan sepenuhnya.
"Setakat ini, 60.71 hektar telah ditambak tanpa melibatkan sebarang pengambilan balik tanah kerana semua kerja dilakukan di kawasan laut,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada Selasa.
Zairil (DAP-Tanjung Bungah) berkata demikian ketika menjawab soalan Muhamad Kasim (Bersatu-Teluk Bahang) berhubung peratusan penambakan terhadap Pulau Silikon yang telah dijalankan.
Menjawab mengenai jumlah penduduk yang terlibat dengan pengambilan tanah dan rumah, Zairil berkata, projek pembinaan Lebuhraya Pan-Island Link 2A (PIL2A) Fasa 1 yang menghubungkan Batu Maung ke Pulau Silikon melibatkan proses pengambilan tanah di kawasan Permatang Damar Laut.
“Proses pengambilan membabitkan 13 lot tanah, 17 buah rumah kediaman, dua premis perniagaan, satu rumah kebajikan dan satu rumah ibadat.
"Semua ini telah diluluskan oleh pihak berkuasa negeri pada 8 Mei 2024 dan diwartakan pada 11 Julai 2024 di bawah Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960,” katanya.
Tambah Zairil, kesemua pemilik serta pihak berkepentingan telah menerima bayaran pampasan sewajarnya selepas penilaian menyeluruh oleh Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) dan melalui proses siasatan oleh Pentadbir Tanah Daerah pada Disember 2024.
“Majoriti penerima mendapat pampasan melebihi RM1.5 juta bagi setiap lot tanah. Selain itu, tiga individu turut menerima bayaran ex-gratia masing-masing sebanyak RM43,500.
"Jumlah keseluruhan pampasan bagi projek PIL2A itu mencecah RM24,154,948.73 manakala bayaran ex-gratia berjumlah RM130,500," katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menyatakan pengambilan tanah bagi pelaksanaan Projek PIL 2A Fasa 1 di Permatang Damar Laut telah dijalankan mengikut peruntukan undang-undang.
Kon Yeow berkata, proses itu termasuk pemberian pampasan berdasarkan nilaian JPPH.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tiga buah keluarga yang tinggal di atas tanah Plot 97 di Permatang Damar Laut bimbang dengan nasib mereka selepas diarahkan mengosongkan kediaman mereka bermula 15 Februari lalu.
Lebih membimbangkan, rumah yang diduduki sejak nenek moyang itu didapati tidak mempunyai geran pajakan yang membolehkan mereka layak untuk menerima pampasan.
Kawasan rumah mereka merupakan salah satu daripada 13 lot tanah melibatkan lebih 30 buah rumah yang akan diambil kerajaan untuk pembinaan Lebuhraya PIL 2A.
https://www.sinarharian.com.my/article/729462/edisi/utara/pulau-pinang-raih-rm129-bilion-hasil-2000-acara-perniagaan
|