Nur Afiyah, bayi usia 6 minggu perlu RM120,000 biaya pembedahan jantung
Nur Izzati Mohamad - Mei 20, 2025 @ 3:14pm

Mohd Adnan Raman dan isteri, Ku Masrainy Ku Aziz memerlukan RM120,000 bagi membiayai kos pembedahan Nur Afiya (gambar) yang mengalami masalah jantung. - Foto One Hope Charity
Bukit Mertajam: "Tanpa pembedahan, peluang untuk anak saya hidup amat tipis".
Demikian luahan Mohd Adnan Raman, 35, dari Kangar, Perlis selepas mengetahui anak perempuan hasil perkongsian hidup dengan isteri, Ku Masrainy Ku Aziz, 38, mengalami masalah jantung.
Katanya, Nur Afiyah yang lahir pada 7 April lalu dikesan mengalami masalah truncus arteriosus, kecacatan septum ventrikel (VSD) dan kecacatan septum atrium (ASD).
Jelasnya lagi, anak bongsu daripada dua beradik itu terpaksa dikejarkan ke unit rawatan rapi neonatal (NICU) sejurus lahir kerana mempunyai masalah tertelan najis.
Katanya, Nur Afiyah yang lahir dengan berat 2.9 kilogram (kg) menerusi pembedahan pada minggu ke-37 kehamilan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan sejak dari itu.
"Doktor kemudian mengesahkan anak saya menghidap kecacatan jantung kongenital dan dia masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan sehingga kini. Tanpa pembedahan, peluang untuknya terus hidup amat tipis.
"Saya dan isteri berharap pembedahan dapat direalisasikan kerana ingin melihat anak kami membesar seperti kanak-kanak lain," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu pasangan itu hadir ke pejabat One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity), di sini untuk memohon bantuan bagi membiayai kos pembedahan dianggarkan RM120,000.
Mohd Adnan berkata, anak sulung perempuannya berusia lapan tahun juga mengalami masalah sama, namun kini sihat dan aktif selepas menjalani pembedahan ketika berusia lapan bulan.
"Namun, keadaan adiknya jauh lebih serius dan kami amat berharap bayi kami yang ketika ini kritikal dapat diselamatkan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau, berkata pihaknya berbesar hati membantu mengumpul dana kerana keluarga berkenaan tidak berkemampuan.
"Bapanya pekerja pembersihan kontraktor pihak berkuasa tempatan dan ibu pula suri rumah," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/05/1398190/nur-afiyah-bayi-usia-6-minggu-perlu-rm120000-biaya-pembedahan
|