Mohd Sallehudin dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas dituduh cabul remaja. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Pengurus sebuah restoran makanan segera dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul remaja perempuan ketika sesi temuduga, Jumaat lalu.
Tertuduh, Mohd Sallehudin Roslie, 32, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan jurubahasa sebelum Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadapnya.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda itu. Tertuduh kemudian membayar denda terbabit.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa dengan sengaja melakukan kekerasan jenayah mencabul kehormatan mangsa berusia 19 tahun di sebuah restoran makanan segera dalam daerah ini.
Perbuatan itu dilakukan antara jam 8.30 hingga 9.30 malam pada 16 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Berdasarkan fakta kes, mangsa datang ke premis itu untuk mencari pekerjaan sebelum dipelawa masuk oleh tertuduh untuk menjalani sesi temuduga.
Sebaik selesai temuduga, tertuduh mengambil kesempatan dan memesan agar mangsa tidak menceritakan kepada sesiapa.
Perbuatan tertuduh bagaimanapun turut dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharif dan Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Normaahani Rais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
|