MOHD Fared Mohd Khalid
Johor Bahru: Johor mencatat peningkatan permohonan perceraian yang difailkan di Mahkamah Syariah seluruh negeri itu dalam tempoh enam tahun, bermula 2019 hingga 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, statistik menunjukkan peningkatan daripada 6,844 kes pada 2019 kepada 7,306 kes tahun lalu
Katanya, antara punca perceraian ialah tiada persefahaman, masalah kewangan, pasangan tidak bertanggungjawab, gangguan pihak ketiga dan campur tangan luar (mentua atau ipar duai).
"Peningkatan paling ketara ialah tuntutan permohonan perceraian yang naik daripada 3,273 kes (2019) kepada 4,264 kes (2024).
"Bagi tuntutan pengesahan lafaz cerai, walaupun terdapat sedikit penurunan pada 2021 (1,856 kes), jumlahnya kembali meningkat kepada 2,462 kes pada 2024.
"Tuntutan pengesahan cerai taklik kekal rendah sepanjang tempoh tersebut antara 25 hingga 38 kes setahun, manakala tuntutan Khulu' atau tebus talak, menurun daripada 10 kes (2019) kepada hanya 8 kes pada tahun 2024.
"Dalam masa sama, tuntutan fasakh mencatatkan penurunan ketara daripada 988 kes pada 2019 kepada hanya 545 kes pada 2024," katanya semasa menjawab soalan lisan bagi mesyuarat pertama penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke- 15, hari ini.
Beliau menjawab soalan Marina Ibrahim (PH - Skudai) mengenai adakah terdapat data daripada Pejabat Agama berkaitan kes kegagalan tuntutan nafkah apabila berlaku perceraian.
Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, golongan berumur 26 hingga 35 tahun adalah pasangan paling tinggi memfailkan perceraian iaitu 16,159 individu, diikuti pasangan 36 hingga 45 tahun (10,517 individu); 18 hingga 25 tahun (4,877 individu); 46 hingga 55 tahun (4,631 individu); 56 hingga 65 tahun (1,715) dan 66 tahun ke atas (588 individu).
Katanya, dari segi tuntutan nafkah, sebanyak 371 kes difailkan sejak Mei 2024 termasuk 109 untuk ini yang setakat April lalu.
"Sejak 2012 sehingga Ogos 2023, Bahagian Sokongan Keluarga telah menyalurkan pendahuluan dana sebanyak RM77,400.00 kepada bekas isteri yang layak melalui peruntukan dana yang disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ),"katanya.
|