Edited by sfhzuraz at 18-5-2025 02:56 PM
Dua van kilang bertembung, pemandu tersepit
MOHD ISKANDAR OTHMAN
18 Mei 2025 12:46pm

Anggota bomba sedang giat mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan yang berlaku di Sungai Tiram pada Ahad.
BAYAN LEPAS – Seorang lelaki cedera selepas tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dalam kemalangan membabitkan dua buah van kilang di Jalan Sultan Azlan Shah, Sungai Tiram, di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu, dua van kilang terbabit dikatakan bertembung, menyebabkan seorang pemandu yang dikenali sebagai Rosmadi Seleman@Sulaiman, 44, mengalami kecederaan pada kaki kanan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.20 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.
"Sebaik tiba, didapati seorang mangsa tersepit di ruang pemandu salah sebuah van terlibat.
"Pasukan bomba bertindak melakukan kerja-kerja penstabilan kenderaan sebelum mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Jurucakap berkenaan berkata, mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 6.56 pagi dan dihantar ke hospital berhampiran menggunakan van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk menerima rawatan lanjut.
Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.14 pagi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
https://www.sinarharian.com.my/article/729108/berita/semasa/dua-van-kilang-bertembung-pemandu-tersepit
|