SARIKEI: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mencadangkan Jambatan Batang Rajang di Sarikei dinamakan sebagai Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang Tuanku Haji Othman.
Menurutnya, penamaan tersebut adalah sebagai mengenang jasa beliau kepada pembangunan negeri ini, terutama di kawasan Sarikei.
"Projek pembinaan jambatan bernilai RM321 juta ini menjadi platform utama untuk Kerajaan Sarawak memperkukuhkan jaringan perhubungan di kawasan tengah negeri ini.
"Jambatan ini adalah sepanjang 1.44 kilometer dan dibina dengan menggunakan kaedah 'balanced cantilever,' lengkap dengan navigasi setinggi 26 meter.
"Laluan jalannya sepanjang 17 kilometer telah dibina mengikut piawaian JKR R3 yang menghubungkan Jalan Pasi ke Jalan Sibu-Tanjung Manis," ujarnya dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian Jalan Pasi ke Sibu/Tanjung Manis dan Jambatan Batang Rajang Bahagian Sarikei yang disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dekat sini, hari ini.
Uggah berkata, projek itu berjaya mengurangkan jarak perjalanan antara Sarikei dan Tanjung Manis daripada 122 kilometer kepada hanya 53 kilometer, dengan masa perjalanan dipendekkan daripada dua jam 30 minit kepada 45 minit sahaja.
Menurutnya lagi, projek itu turut membuka potensi pembangunan baharu di kawasan Sarikei, Bintangor dan Tanjung Manis.
"Projek ini akan merangsang pertumbuhan dalam sektor komersial, pertanian, pelancongan dan ekonomi setempat serta meningkatkan akses ke Pelabuhan Tanjung Manis yang merupakan antara hab logistik utama di negeri ini.
"Projek ini turut melibatkan penyediaan infrastruktur utiliti seperti bekalan elektrik, telekomunikasi dan air oleh agensi-agensi berkaitan dan menjadikan keseluruhan pembangunan ini sebagai pemangkin utama kepada kemajuan sosioekonomi mampan dan inklusif di kawasan tengah Sarawak," jelasnya lagi.
Hadir sama ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh dan tetamu kehormat lain.
|