CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 16|Reply: 0

[Sabah] Kaamatan platform perpaduan dan pemangkin keunikan warisan budaya

[Copy link]
Post time 18-5-2025 07:13 AM | Show all posts |Read mode



KUALA PENYU: Sambutan Pesta Kaamatan bukan sahaja menjadi medan memartabatkan budaya dan mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum dan pemangkin keunikan warisan budaya negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, Kaamatan telah terbukti menjadi wadah penyatuan rakyat negeri ini yang hidup dalam kepelbagaian budaya, agama dan latar belakang namun tetap bersatu padu dengan semangat muhibah dan harmoni.

Beliau berkata, sambutan perayaan itu wajar dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuhkan ikatan masyarakat selain memartabatkan budaya warisan agar terus relevan dalam arus pemodenan.

“Kaamatan bukan sahaja tentang menghidupkan adat dan tradisi nenek moyang, tetapi juga berperanan sebagai platform penting menjana pertumbuhan industri pelancongan negeri.

“Keunikan budaya yang dipersembahkan sepanjang perayaan ini mampu menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara, sekali gus memberi manfaat ekonomi kepada penduduk tempatan,” kata Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) itu ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok di Dewan Dato Syahbandar Makang, di sini hari ini.

Joachim menegaskan, pelaksanaan sambutan Kaamatan di setiap peringkat sama ada kampung, daerah, organisasi mahupun negeri harus dilihat sebagai satu peluang strategik untuk mempromosi budaya tempatan kepada dunia.

Menurut beliau, penyertaan rakyat pelbagai kaum dan agama dalam sambutan Kaamatan setiap tahun membuktikan bahawa perpaduan rakyat Sabah adalah kekuatan utama yang menjadi tunjang kestabilan dan kemajuan negeri.

“Semangat kebersamaan yang dizahirkan dalam pesta seperti ini amat penting untuk kita terus pelihara demi kesinambungan keharmonian dan kemajuan negeri,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan sentiasa menyokong penganjuran acara-acara kebudayaan yang bukan sahaja memperkasakan identiti rakyat Sabah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pembantu Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury dan kepada jawatankuasa Penganjur Pesta Kaamatan  yang dipengerusikan oleh Nelson Domil Oluk dan seluruh masyarakat setempat atas usaha memastikan Pesta Kaamatan terus menjadi simbol kebanggaan rakyat Sabah, merentas sempadan kaum dan generasi.

Joachim juga menyampaikan gimik penyerahan sumbangan Yayasan Pendidikan Limus Jury kepada lima pelajar (wakil) daripada 34 pelajar bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Beaufort yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah RISDA Semaian dan Lanskap Sdn. Bhd; Datuk Siti Aminah Aching; Penolong Pegawai Daerah Menumbok, Hasnita Noorzain; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kuala Penyu, John Genchit; Presiden STCA, Tan Sri Wences Angang; Penaung Persatuan Pengusaha Pelancongan Kuala Penyu (PPPKP), Datuk John Ghani dan Timbalan Ketua Polis Daerah Beaufort; DSP Mail Sundongi serta para pemimpin setempat.



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-5-2025 08:37 PM GMT+8 , Processed in 0.046557 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list