CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 19|Reply: 0

[Sabah] KUSKOP perkasa produk Ikan Liking Kota Belud sebagai produk SDSI

[Copy link]
Post time 18-5-2025 07:12 AM | Show all posts |Read mode


KOTA BELUD: Produk tradisional tempatan, Ikan Liking, kini diperkasakan di bawah Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) bagi daerah Kota Belud, hasil inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, KUSKOP memperuntukkan sebanyak RM55,000 bagi pembangunan produk berkenaan yang melibatkan seramai 16 pengusaha tempatan.

Menurutnya, peruntukan itu meliputi aspek latihan asas, kursus bimbingan serta pemantauan berterusan oleh pihak kementerian untuk memastikan setiap usahawan mampu meningkatkan mutu pengeluaran dan memasarkan produk ke peringkat lebih tinggi.

“KUSKOP komited dalam memperkasa usahawan luar bandar, khususnya yang terlibat dalam produk unik dan berpotensi tinggi seperti ikan Liking ini.

“Melalui program SDSI, kami ingin memastikan produk ini bukan sahaja dikenali di peringkat tempatan tetapi mampu menembusi pasaran lebih luas, sekaligus merancakkan ekonomi setempat,” katanya selepas merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kota Belud, di Dewan Tun Said, di sini.

Tambahnya, selain Ikan Liking, KUSKOP turut memberi tumpuan kepada pembangunan produk Sarang Burung Walit yang diusahakan oleh Koperasi Kumpulan Walit Kanibongan Berhad (KOKUWA) dengan peruntukan sebanyak RM192,000 dalam program sama.

Katanya, kementerian kini dalam proses mengenal pasti produk Kopi Ranau sebagai produk SDSI baharu bagi daerah itu dengan fokus kepada pembangunan produk berdaya saing tinggi.

“KUSKOP sentiasa berusaha menambah baik pelaksanaan program SDSI, baru-baru ini, kami melancarkan Garis Panduan Program SDSI 2.0 sebagai platform untuk membantu usahawan SDSI menjadi lebih berdaya saing dan kompetitif,” katanya.

Program SDSI yang diperkenalkan pada tahun 1992 dengan nama asalnya Satu Kampung Satu Produk, kini berkembang sebagai Satu Daerah Satu Industri bertujuan membangunkan ekonomi komuniti melalui penghasilan produk unik yang mencerminkan identiti dan warisan setempat.

Sehingga 2024, sebanyak 138 usahawan SDSI berdaftar di Sabah yang terlibat dalam pelbagai sektor industri tempatan, mencakupi produk makanan, kraf tangan dan hasil pertanian.

Sementara itu, Ewon turut menyentuh mengenai Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kota Belud yang disifatkannya sebagai simbol perpaduan dan keharmonian masyarakat.

“Penganjuran Pesta Kaamatan dengan tema ‘Kaamatan Untuk Semua’ mencerminkan semangat toleransi dan kebersamaan yang utuh dalam kalangan rakyat.

“Kita berharap agar sambutan ini membawa keberkatan kepada seluruh rakyat Malaysia, memperkukuh keharmonian, meningkatkan sektor ekonomi dan keusahawanan, serta memperkukuh kestabilan negara,” katanya.

Dalam usaha memperkasa pembangunan usahawan di Malaysia Timur, Ewon turut memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara (Perspektif KUSKOP) yang memberi fokus khusus kepada keperluan keusahawanan, koperasi dan pendidikan di Sabah dan Sarawak.

“Sabah dan Sarawak mempunyai dinamik isu dan cabaran tersendiri. Melalui dasar ini, KUSKOP akan menumpukan lebih banyak inisiatif untuk memperkasakan usahawan di kedua-dua negeri ini tanpa menjejaskan fokus kementerian di peringkat nasional,” katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jiton bersama para pemimpin tempatan yang turut memberikan sokongan kepada inisiatif pembangunan usahawan setempat.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-5-2025 11:00 PM GMT+8 , Processed in 0.211249 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list