KOTA KINABALU: Program penanaman fragmen terumbu karang terbesar di Malaysia di dalam Taman Tun Mustapha (TTM) Simpang Mengayau, Kudat, kini dalam proses untuk disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBR).
Projek pemulihan melibatkan penanaman sebanyak 12,000 fragmen terumbu karang yang diikat pada 1,000 rangka logam bukan sahaja bertujuan memulihkan ekosistem marin yang terjejas, malah dijangka mampu melonjakkan sektor ekopelancongan di kawasan berkenaan.
Rangka berkenaan diangkut dan dipasang di lokasi kira-kira dua kilometer dari Tanjung Simpang Mengayau, berhampiran Pulau Kalampunian yang dijayakan seramai 60 penyelam profesional dan 250 peserta bukan penyelam.
Mereka turut dibantu oleh lima bot penghantar yang digunakan untuk membawa rangka dari tapak pengikatan karang di darat ke tapak penanaman di dasar laut.
Tiga penyelam daripada MBR bersama penyelam dari Taman-Taman Sabah (TTS) yang memulakan program dijadual akan menjalankan pemeriksaan dan pensijilan terhadap tapak penanaman terumbu karang di dasar laut TTM pada hari ini (Ahad).
Pensijilan ini adalah langkah penting sebelum TTS menerima Sijil Pengiktirafan daripada wakil MBR pada Isnin (19 Mei) semasa majlis pelancaran yang dijadualkan berlangsung di Kudat.
Majlis pelancaran bertemakan 'Unite for Oceans' itu akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Christina Liew bersempena Ulang Tahun kesembilan pewartaan TTM di Dewan Tun Mustapha, Kudat.
Christina memuji usaha gigih pasukan TTS dalam merealisasikan inisiatif pemulihan terumbu karang terbesar di negara ini.
“Tahniah kepada Pengarah dan pasukan TTS atas pelaksanaan inisiatif pemulihan terumbu karang yang besar ini, saya berbangga kerana TTM mencipta sejarah dengan menganjurkan Acara Penanaman Fragmen Terumbu Karang Terbesar yang pernah direkodkan di Malaysia.
“Inisiatif ini berpotensi menjadi produk pelancongan untuk Kudat yang sudah terkenal dengan keindahan Tanjung Simpang Mengayau,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Lembaga Pemegang Amanah TTS, Dr Maklarin Lakim, turut memberikan penerangan terperinci mengenai projek berkenaan semasa mengetuai delegasi mengadakan kunjungan hormat kepada Christina pada Jumaat.
“Objektif utama program ini adalah untuk memulihkan terumbu karang yang rosak di kawasan terpilih dalam TTM di Kudat, serta melibatkan komuniti setempat dalam usaha memelihara ekosistem marin.
“Inisiatif pemulihan marin berskala besar ini dijalankan selama dua minggu, melibatkan ratusan peserta termasuk penyelam bertauliah, bukan penyelam, komuniti tempatan serta pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata, TTS melaksanakan program ini dengan menggunakan Sistem Pemulihan Terumbu Karang Berbantu Mars (MARRS) yang melibatkan sembilan proses utama.
Katanya, ia termasuklah Penilaian Habitat Karang, Pembinaan Rangka (Reef Stars), Pengumpulan Karang, Pemecahan Fragmen Karang, Pengikatan Fragmen Karang pada setiap rangka, Penghantaran Rangka ke Tapak Penanaman, Pemasangan Rangka di Dasar Laut, Penyusunan Reef Stars membentuk struktur “Beehive Web” di dasar laut serta Penyelenggaraan dan Pemantauan.
“Seramai 12 penyelam bebas ditugaskan untuk menghantar rangka dari permukaan laut ke dasar laut di tapak penanaman manakala lapan penyelam pembina pula memastikan rangka dipasang dengan kukuh di lokasi yang ditetapkan.
“Selain itu, 30 penyelam sokongan membantu proses penempatan rangka bagi memastikan aktiviti penanaman terumbu berjalan lancar dan selamat serta empat penyelam penyelamat turut bersedia bagi menjamin keselamatan semua peserta selaman,” katanya.
Acara penanaman terumbu karang bermula 5 hingga 12 Mei dengan persiapan rangka terumbu (Reef Stars) di Kampung Tajau Laut, Kudat dengan melibatkan proses tiga lapisan menggunakan bahan anti-karat, resin dan pasir.
Pada 13 Mei proses pengumpulan lebih 20 spesies karang dari TTM bermula dan berlanjutan hingga 14 Mei, mengikut protokol, hanya 10 peratus daripada setiap koloni karang diambil bagi memastikan kelestariannya.
Sepanjang dua hari ini, rangka terumbu (Reef Stars) diangkut dari Kampung Tajau Laut ke Tip of Borneo.
Selepas itu, proses pemecahan fragmen karang dijalankan pada 15 hingga 18 Mei. Fragmen karang diikat pada rangka iaitu 12 fragmen bagi setiap rangka, dengan jumlah keseluruhan 12,000 fragmen di pantai Simpang Mengayau.
Rangka ini kemudiannya dihantar dari pantai ke tapak penanaman terumbu dan berjaya dipasang berhampiran Pulau Kalampunian.
Pada 16 Mei pula, sebanyak 723 daripada 1,000 Reef Stars berjaya dipasang di tapak penanaman dekat Pulau Kalampunian.
Hadir sama dalam kunjungan hormat itu ialah Penolong Pengarah Kanan TTS Fazrullah Rizally Abdul Razak, Penolong Pengarah Ak Mohd Rodzan Pg Dahlan, Penolong Pengarah Norhaslam Adin dan Pegawai Taman TTM Ivycleire Edward.
|