Kembar, suami sama bidang
SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
17 Mei 2025 10:40am

Razah bersama suami, Abdulazim berkongsi bidang kerjaya yang sama.
BALING - Minat yang mendalam dan yakin bahawa ilmu adalah kunci kejayaan dalam mengubah nasib keluarga membuatkannya seorang guru jatuh cinta kepada dunia pendidikan.
Razah Dollah, 52, berkata, minat yang sama turut dikongsi kembarnya, Mazah yang juga berada dalam bidang pendidikan serta sudah berpengalaman kira-kira 30 tahun.

Razah dan suami melihat potret keluarga yang dirakam sebagai kenangan semasa meraikan kejayaan tamat pengajian sebelum ini.
Lebih manis, suami kepada kedua-dua pasangan kembar itu turut menceburi bidang kerjaya sama dalam dunia pendidikan.
“Alhamdulillah, takdir juga telah mempertemukan jodoh saya iaitu seorang pendidik, Abdulazim Abdul Hamid, 57, dan kami sama-sama menabur bakti dalam dunia pendidikan.
“Mungkin disebabkan keserasian, kembar saya, Mazah turut bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang kerjayanya dalam bidang sama, Nasri Baharom, 55,” katanya.
Bercerita lanjut, Razah berkata, adik bongsu mereka, Shamsiah, 40, turut menceburi bidang pendidikan dan kini sedang bertugas di Pantai Timur.
“Alhamdulillah setakat ini kami berlima dalam keluarga merupakan pendidik dan minat kami disokong keluarga tanpa berbelah bahagi,” jelasnya.
https://www.sinarharian.com.my/article/728932/edisi/utara/kembar-suami-sama-bidang
|