CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 166|Reply: 0

Warisan Baba Nyonya

[Copy link]
Post time 16-5-2025 08:10 PM | Show all posts |Read mode


Malaysia menjadi destinasi unik bukan hanya kerana keindahan panorama dan tarikan makanannya, tapi juga kepelbagaian kaum antara khazanah yang membawa nama negara ke seluruh dunia.


Dalam memahami susur galur sejarah, Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Tanah Melayu terletak di tengah laluan perdagangan.


Atas faktor itu, pertembungan dan percampuran budaya terutama menerusi perkahwinan campur antara bangsa luar dan orang tempatan mewujudkan etnik unik.


Sejarah peranakan umpamanya antara peninggalan percampuran budaya yang mewujudkan generasi unik Baba Nyonya.


Peluang menjelajah Pulau Pinang atas urusan kerja baru-baru ini memberi peluang penulis menyusuri keunikan budaya Baba Nyonya menerusi lokasi tarikan khusus memperkenalkan susur galur komuniti itu.




Rumah Agam Peranakan


Lokasi pertama penulis kunjungi ialah Rumah Agam Peranakan yang memiliki lebih 1,000 koleksi antik dan barang berkait rapat dengan budaya Baba Nyonya.


Rumah itu sendiri sebelumnya dinamakan 'Hai Kee Chan' yang bermaksud 'Dewan Peringatan Laut' dibina Chung Keng Kwee.


Tokoh itu dikenali sebagai Kapitan Cina Perak dan seorang daripada lelaki terkaya di Pulau Pinang pada akhir abad ke-19.


Uniknya, rumah agam terbabit terletak di lokasi sangat strategik iaitu tumpuan bandar Georgetown yang memiliki seni bina memanjang ke belakang.





Menurut pemandu pelancong, rumah agam itu dibina sedemikian oleh pemiliknya bagi mengelak ufti (cukai pemerintah) British yang mengenakan cukai tinggi jika bangunan dibina semakin melebar. Menyebabkan wujudnya seni bina memanjang ke belakang.


Jika pengunjung pernah mengunjungi mana-mana rumah kedai peranakan lain di bandar ini, pasti menyedari seni binanya hampir sama.


Penulis sendiri akui, semakin menjelajah rumah agam itu, semakin menarik ruang yang ditemui.


Salah satunya ialah ruang pameran kasut manik dan busana serta pakaian Baba Nyonya.


Tidak hanya itu, ruang menempatkan bilik tetamu juga memiliki sesuatu yang rapat dengan bangsa Cina iaitu meja mahjung dan teko porselin teh yang turut menjadi identiti kaum itu.


Malah penulis turut bertembung pengunjung yang melaram dengan busana sewa iaitu kebaya Nyonya di lokasi sama.




Rumah Agam Biru


Penulis juga tidak nafikan tertarik dengan lokasi makan malam iaitu di Rumah Agam Biru atau lebih popular dengan nama Blue Mansion.


Bukan sekadar menjadi galeri dengan paparan koleksi barang antik lama menghiasi segenap ruang rumah agam serba biru itu, tapi ia juga antara restoran ternama di bandar Georgetown.


Malam terbabit, penulis pertama kali menikmati konsep hidangan penuh sofistikated dan moden. Tata hias restoran dan rumah agam itu menampilkan ciri-ciri klasik.


Hidangan disajikan boleh digambarkan sebagai sebuah pertemuan timur dan barat kerana persembahan juadahnya mengikut gaya barat, sementara tekstur dan 'profil' pula banyak mengetengahkan selera atau cita rasa herba tempatan.


Ternyata ruang legar utama dan hidangan makan malam di lokasi rumah agam itu memberi penekanan pengalaman hidup gaya mewah dengan meja makan panjang seperti gaya Eropah.


Setiap sudutnya sesuai untuk dijadikan latar atau kandungan dalam media sosial.


Latar belakang asal rumah agam itu dibina saudagar China, Cheong Fatt Tze pada penghujung abad ke-19.


Rumah agam itu mempunyai 38 bilik, lima halaman berturap granit, tujuh tangga dan 220 tingkap 'louvre' kayu vernakular.


Ia berfungsi sebagai kediaman peribadi Cheong serta pusat aktiviti perniagaannya di Pulau Pinang suatu ketika dahulu.


Populariti rumah agam itu cukup masyhur apabila pernah menjadi lokasi penggambaran filem antarabangsa iaitu The Red Kebaya, filem Perancis, Indochine dan terbaru, Crazy Rich Asians. - HARIAN METRO


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: ExploRasa


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-5-2025 08:40 PM GMT+8 , Processed in 0.043087 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list