Lelaki ditahan edar dadah guna kurier, polis rampas dadah RM2.1 juta di lokasi simpanan
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Mei 16, 2025 @ 5:10pm

Sidang media rampasan pelbagai pelbagai jenis dadah bernilai RM2.1 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang. - NSTP/MIKAIL ONG
GEORGETOWN: Taktik seorang lelaki menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedar dadah terbongkar selepas dia ditahan dalam satu serbuan di Butterworth, di sini, semalam.
Penahanan suspek, 41, turut membongkar lokasi penyimpanan dadah jenis serbuk Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) serta rampasan pelbagai jenis bahan terlarang bernilai RM2.1 juta.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata susulan penahanan suspek di kawasan parkir kereta itu membawa polis ke sebuah pangsapuri yang menjadi lokasi penyimpanan dadah di kawasan Butterworth.
"Risikan mendapati suspek aktif sejak hujung tahun lalu dan jumlah keseluruhan dadah dirampas boleh digunakan 400,000 penagih jika terlepas di pasaran.
"Antara ditemukan MDMA dianggar lebih 12 kilogram (kg) yang disorok dalam beberapa kotak; 15 paket serbuk ketamin (384 gram), 50 keping kerajang aluminium berisi pil Eramin 5, tiga paket pil ekstasi serta peralatan memproses dadah," katanya pada sidang media hari ini.
Hamzah berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine dan ketamin, selain mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.
"Suspek direman tujuh hari sehingga 22 Mei bagi membantu siasatan, dengan tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 susulan sitaan kereta jenis Mercedes, barangan kemas dan wang tunai.
"Keseluruhan rampasan dadah serta harta disita mencecah RM2.33 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Mengulas modus operandi, Hamzah berkata, suspek menggunakan syarikat perkhidmatan penghantaran barang, dengan dadah dibungkus dengan baik dan cantik sebelum diisytihar sebagai barangan berharga.
"Setakat ini kita mengesan kegiatan itu dijalankannya secara solo dan menjadikan rumah sewa berkenaan sebagai lokasi, di aman suspek akan berpindah jika aktivitinya dikesan.
"Suspek memproses sendiri semua dadah dan bertindak sebagai pembekal dengan mengepos dadah berkenaan kepada pelanggan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/05/1396763/lelaki-ditahan-edar-dadah-guna-kurier-polis-rampas-dadah-rm21-juta-di
|