Bot TLDM rempuh bot pelancong
Oleh Hamzah Osman - Mei 15, 2025 @ 8:32pm

Foto tular bot TLDM yang difahamkan sedang melakukan latihan sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ‘25) merempuh sebuah bot pelancong yang sedang berlabuh di perairan Resort World Langkawi.
LANGKAWI: Sebuah bot pelancong berlabuh milik orang awam dirempuh bot laju Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang hilang kawalan ketika menjalani latihan demonstrasi sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA '25), di perairan Resort World Langkawi, petang tadi.
Difahamkan, dalam kejadian jam 4.34 petang ketika bot TLDM terbabit sedang menjalani latihan persediaan untuk demonstrasi menyelamat di lokasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata kemalangan itu membabitkan sebuah bot pasukan keselamatan yang sedang melakukan latihan rasmi dan sebuah bot pelancong milik orang awam yang ketika itu sedang berlabuh berhampiran pantai.
"Bot pasukan keselamatan itu dinaiki lima pegawai dan anggota. Akibat pelanggaran itu, dua anggota pasukan keselamatan mengalami kecederaan dan dirujuk ke Hospital Sultanah Maliha untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, petang ini.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan membabitkan orang awam dalam insiden berkenaan.
Setakat ini, katanya, polis belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan kejadian daripada pihak yang terbabit.
Insiden itu turut menarik perhatian pelancong dan orang awam yang berada berhampiran kawasan perairan apabila rakaman kejadian tular di media sosial, menunjukkan bot laju TLDM merempuh sisi bot pelancong sehingga mengakibatkan kerosakan pada struktur badan bot.
Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi berhubung punca sebenar insiden dan sama ada ia membabitkan sebarang kecuaian atau kegagalan teknikal.
Pameran LIMA '25 dijadual berlangsung hujung minggu ini dan menyaksikan pelbagai aset pertahanan negara dipamer serta dipertontonkan kepada umum termasuk demonstrasi udara dan maritim oleh pelbagai cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/05/1396385/bot-tldm-rempuh-bot-pelancong
|