KEMUKA ADUAN: UPPM Liawan mengajukan permohonan BELB dan pada masa sama menyampaikan aduan kerosakan tiang elektrik reput di beberapa kampung di pejabat SE Keningau, baru-baru ini.
KENINGAU: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan terus mengambil langkah proaktif dengan mengajukan permohonan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) bagi rumah-rumah tertinggal selain menyampaikan aduan kerosakan tiang elektrik reput di beberapa kampung terlibat, dalam lawatan kerja ke pejabat Sabah Electricity (SE) Keningau, baru-baru ini.
Usaha itu digerakkan seiring dengan penekanan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman yang komited memastikan keperluan asas seperti bekalan elektrik disalurkan secara adil dan menyeluruh, khususnya kepada komuniti luar bandar yang masih belum menikmati kemudahan itu.
“Gerak kerja seperti ini adalah cerminan kepada aspirasi ‘Liawan Terurus, Liawan Maju’, di mana setiap keperluan rakyat diberi perhatian dengan pendekatan segera dan berfokus,” kata wakil UPPM Liawan.
Dalam pada itu, aduan berkenaan struktur tiang elektrik yang sudah reput turut dikemukakan kepada pihak SE sebagai langkah pencegahan awal demi keselamatan penduduk setempat.
UPPM Liawan menyifatkan misi yang dilakukan itu sebagai satu lagi langkah 'Onsoi' – iaitu terbaik dalam bahasa etnik tempatan – yang menggambarkan kesungguhan mereka berkhidmat kepada rakyat secara berterusan.
“Semoga penyelesaian dapat dicapai segera demi kesejahteraan rakyat Liawan,” kata mereka dengan penuh harapan.
|