CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 37|Reply: 0

[Sabah] Tiada caj berlebihan dikenakan oleh ECoS

[Copy link]
Post time 15-5-2025 08:00 AM | Show all posts |Read mode


KOTA KINABALU: Orang awam diingatkan supaya tidak menyebarkan dakwaan palsu berkaitan Yuran Pendaftaran Janakuasa oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (Cawangan Sabah) David Chan berkata, penyebaran maklumat seperti itu boleh menimbulkan kekeliruan dan panik yang tidak perlu dalam kalangan pengguna.

Menurutnya, baru-baru ini tular dakwaan mengenai caj berlebihan yang dikenakan oleh ECoS berkaitan Sistem Pensijilan Elektrik untuk permohonan pendaftaran janakuasa.

Sehubungan itu pihaknya menjalankan semakan dalaman dan mendapatkan penjelasan terus daripada pihak ECoS dan berdasarkan maklumat yang diperoleh, dakwaan berkenaan adalah tidak benar.

"ECoS tidak mengenakan caj berjumlah RM2,000 untuk Yuran Permohonan Lesen. Sekiranya jumlah ini dibayar, besar kemungkinan ia adalah caj oleh pihak ketiga (runner).

"Pengguna boleh memohon secara dalam talian terus melalui laman web rasmi ECoS secara percuma.

"Yuran Penyerahan Lukisan Siap dalam anggaran RM2,000 hingga RM6,500 bukan dikenakan oleh ECoS tetapi pihak perunding. Ia melibatkan pengesahan profesional bagi memastikan pemasangan dilakukan dengan betul dan selamat.

"Bagi set janakuasa sedia ada, pemilik sepatutnya memiliki lukisan pemasangan asal. Pemilik juga boleh berurusan terus dengan ECoS untuk menyelesaikan isu berkaitan aset yang dipasang," jelasnya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, pihak ECoS juga tidak mengenakan Yuran Borang G dan H berjumlah sekitar RM2,500 hingga RM10,000 tetapi yuran berkenaan dikenakan oleh kontraktor.

Menurutnya, Borang G merujuk kepada Perakuan Penyiapan, manakala Borang H merujuk kepada Perakuan Pengujian dan borang berkenaan sepatutnya disediakan semasa pemasangan awal.

Katanya, Yuran Pembaharuan Lesen Tahunan berjumlah RM500 hingga RM1,000 adalah satu-satunya yuran yang dikenakan oleh ECoS, berdasarkan saiz aset.

David berkata, kadar itu adalah sama seperti yang dikenakan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) sebelum ini, tanpa sebarang kenaikan.

"Sebarang caj tambahan besar kemungkinan dikenakan oleh perunding, kontraktor, atau perkhidmatan pihak ketiga dan bukannya oleh ECoS.

"Pihak ECoS turut menjelaskan tujuan utama peraturan ini adalah untuk keselamatan pemilik aset dan orang awam, dengan memastikan semua pemasangan dilakukan mengikut garis panduan piawaian serta dilaksanakan oleh individu yang kompeten dan syarikat yang bertauliah.

"Kami menggesa orang awam agar menyemak kesahihan fakta sebelum berkongsi sebarang maklumat di media sosial. Penyebaran maklumat yang tidak sahih atau palsu boleh menyebabkan ketakutan, kekeliruan dan merosakkan keyakinan orang ramai terhadap sistem sedia ada," katanya.

Dalam pada itu jelasnya, sebagai sebuah organisasi pengguna yang bertanggungjawab, pihaknya komited untuk menegakkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kesejahteraan rakyat bagi memastikan setiap maklumat yang disebarkan adalah tepat dan membina.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-5-2025 08:36 PM GMT+8 , Processed in 0.045706 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list