BINTULU: Pembangunan di kawasan bandar dan luar bandar akan diseimbangkan bagi memastikan penduduk di luar bandar dapat menikmati kemajuan serta kemudahan sebagaimana di bandar, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Jelasnya, ini bagi memastikan penduduk luar bandar akan terus berkembang sekali gus mengurangkan migrasi besar-besaran terutama generasi muda dari kawasan luar bandar ke bandar.
"Sebagaimana semua maklum, kerajaan sentiasa merangka strategi bagi memastikan yang kawasa luar bandar akan terus menikmati prasarana serta infrastruktur yang moden dan selesa sebagaimana yang dinikmati di bandar," ujarnya.
Dr Rundi berkata demikian semasa berucap merasmikan Pengerami Mantar Gawai Dayak Daerah Sebauh 2025 di Dinner World Restaurant Bintulu malam kelmarin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena menegaskan bahawa ramai daripada penduduk rumah panjang kini tinggal di kawasan bandar atas faktor bekerja serta mempunyai kediaman sendiri.
"Bahkan pada masa sekarang, sekiranya berlaku kematian, ramai daripada komuniti rumah panjang yang menjalankan upacara pengebumian di pusat pengurusan pengebumian di bandar," ujarnya.
Justeru katanya, rumah panjang tidak harus dilupakan sebagai lokasi menjalankan pelbagai aktiviti termasuk upacara adat kerana ia melambangkan jati diri sebagai anak asli kaum Dayak yang amat menghargai adat dan kebudayaan.
Justeru jelasnya, adalah amat penting kaum Dayak sentiasa menghormati adat serta budaya mereka sendiri bagi memastikan identiti unik ini kekal terpelihara meskipun hidup dalam arus pemodenan.
|