KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak terus memperkukuh kawalan keselamatan dan membanteras kegiatan penyeludupan menerusi sembilan operasi bersepadu yang dilaksanakan antara 1 hingga 12 Mei lalu.
Timbalan Komander Briged Sarawak ACP Rosdi Inai berkata operasi tersebut membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM6.09 juta.
Menurutnya operasi yang merangkumi Ops Taring Alpha, Ops Taring Bravo dan Ops Taring Awas/Batas itu turut menyaksikan tangkapan suspek warga tempatan dan warga asing yang dipercayai terlibat dalam pelbagai kegiatan penyeludupan melibatkan rokok, minuman keras, bahan makanan dan barang kawalan bersubsidi.
“Kejayaan terbesar dicatatkan di Miri melibatkan rampasan 7,400 karton rokok putih, 3,160 karton rokok kretek dan 201 karton minuman keras dengan anggaran nilai RM3.09 juta pada 7 Mei.
“Serbuan di Kuching pada 11 Mei pula berjaya merampas 2,848 karton rokok pelbagai jenama bernilai lebih RM1 juta.
“Di Lundu dan Bau, pasukan berjaya merampas bawang besar, daging sejuk beku serta minyak masak yang dibawa tanpa permit sah dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah hampir RM1.5 juta,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Turut dilaporkan ialah kes penyelewengan diesel, petrol dan tong gas di Debak yang menyaksikan rampasan bernilai lebih RM200,000.
“Seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun turut ditahan dan hasil pemeriksaan lanjut telah menemui sebanyak 1,260 liter minyak petrol, 750 liter minyak diesel dan 20 tong gas jenis LPG dalam muatan sebuah lori.
“Kesemua barang tersebut termasuk sebuah lori dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.
Terdapat juga cubaan penyeludupan rokok di sempadan Tebedu dan barangan seperti beras serta minyak masak melalui jalan tidak diwartakan di Lubok Antu.
“Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada agensi penguat kuasa berkaitan termasuk Jabatan Kastam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” kata Rosdi.
Sepanjang tempoh operasi bermula Januari hingga 12 Mei 2025, Briged Sarawak PGA telah mencatat 170 kes dengan nilai rampasan mencecah RM234 juta, melibatkan 277 tangkapan serta 174 kenderaan pelbagai jenis yang disita.
“PGA Briged Sarawak komited memerangi jenayah rentas sempadan dan penyeludupan bagi memastikan keselamatan serta ekonomi negara sentiasa terpelihara,” tambahnya.
|