Johor Bahru: Seorang pesara berusia 73 tahun rugi RM459,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud beroperasi secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mengikut laporan polis dibuat mangsa semalam, kejadian bermula pada Disember 2024 apabila dia menerima tawaran pelaburan saham syarikat antarabangsa menerusi aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali.
"Mangsa dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp dinamakan 'PJT Academy' yang kononnya mengajar cara jual beli saham menggunakan aplikasi 'USMSG'.
"Suspek menawarkan pelaburan yang didakwa beroperasi di Malaysia dan China dengan pulangan keuntungan antara 10 hingga 200 peratus," katanya pada kenyataan.
Raub berkata mangsa yang tertarik dengan tawaran itu melakukan 23 transaksi berjumlah RM459,000 ke 10 akaun bank berbeza daripada 10 Januari hingga 17 April lalu.
Beliau berkata, pada awalnya, mangsa menerima pulangan RM18,360 dan ia mendorongnya untuk terus melabur.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
"Orang ramai dinasihati tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan luar biasa dan diminta mengesahkan kesahihan pelaburan melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia atau menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997.
"Masyarakat turut digalakkan mengikuti laman rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Facebook, Instagram dan TikTok untuk mendapatkan maklumat terkini taktik jenayah penipuan komersial," katanya.
|