Bagi mereka yang gemar mengembara atau perlu bermalam di tempat lain, mempunyai haiwan kesayangan di rumah pasti membuatkan anda tidak keruan terutama saat meninggalkan haiwan berkenaan.
Apatah lagi, jika ia begitu manja dan sudah dianggap sebagai ahli keluarga atau teman rapat, isu keselamatan bersendirian di rumah pasti membuatkan anda tidak senang duduk apabila berjauhan.
Di dalam ruangan Kubela kali ini kami ingin kongsikan beberapa tip yang mungkin boleh anda praktikkan jika ingin meninggalkan haiwan kesayangan di kediaman untuk satu jangka yang lama.
1. Memasang kamera litar tertutup (CCTV)
CCTV ketika ini boleh didapati di pasaran dalam pelbagai fungsi dan mampu diakses dari jarak jauh menerusi kecanggihan teknologi masing-masing termasuk di telefon pintar pemilik.
Memasang CCTV di dalam kediaman untuk memantau keadaan haiwan kesayangan seperti kucing boleh dilakukan bagi membolehkan anda memantau aktivitinya di rumah.
Ia termasuk melihat pergerakannya yang mungkin boleh mengancam keselamatan sekiranya berada di dalam rumah bersendirian. Sebaik-baiknya pasang CCTV yang menjadi lokasi biasa si manja anda bergerak atau melakukan aktiviti.
2. Tinggalkan di hotel haiwan kesayangan
Hotel haiwan kesayangan di sekitar kawasan kediaman ketika ini tumbuh bagai cendawan kerana memahami kehendak si pemilik yang ingin memastikan keadaan si manja mereka dalam keadaan selamat.
Malah, ketika ini hotel haiwan kesayangan bukan sahaja untuk haiwan seperti kucing atau anjing, malah penyedia hotel haiwan juga sudah menyediakan hotel untuk ikan kesayangan.
Tidak sekadar itu, hotel haiwan kesayangan juga mempunyai pelbagai pakej rumah tumpangan mengikut bajet si pemilik antaranya mempunyai pendingin hawa, ruang sangkar yang luas, boleh mengakses menerusi kamera litar tertutup. Malah, ada juga yang menawarkan pakej spa untuk haiwan yang tinggal di hotel haiwan kesayangan.
Namun, pastikan si penjaga mempunyai pengalaman yang baik dalam mengendalikan haiwan kesayangan supaya tidak berlaku isu pengabaian.
3. Penjaga peribadi
Sekiranya haiwan kesayangan anda mempunyai tingkah laku yang hanya gemar berada di dalam rumah dan boleh berlaku tekanan jika bercampur dengan haiwan lain. Nampaknya, meninggalkan di rumah adalah perkara yang tidak boleh dielakkan.
Anda boleh meminta bantuan rakan atau ahli keluarga untuk memantau keadaan haiwan kesayangan sepanjang ada tiada di rumah. Malah, ada juga perkhidmatan penjagaan haiwan di rumah.
Pastikan anda memaklumkan berkenaan isu kesihatan, diet, tingkah laku dan nombor kecemasan kepada individu yang bakal menjaga si manja di rumah.
Perkara ini kerana si penjaga boleh memaklumkan sekiranya berlaku hal kecemasan atau secara tiba-tiba haiwan kesayangan anda berubah tingkah laku seperti menjadi pasif dan tidak mahu makan.
4. Cukupkan segala-galanya di rumah
Jika anda tidak mempunyai pilihan lain termasuk tidak mempunyai bajet untuk mengupah orang menjaga haiwan kesayangan ketika perlu meninggalkan rumah suatu masa yang lama pastikan anda menyediakan keperluan yang secukupnya untuk si manja.
Dari segi makanan misalnya, ketika ini terdapat mesin automatik berserta kamera yang boleh dibeli untuk membolehkan makanan yang diberikan mengikut masa yang sudah ditentukan.
Sediakan tempat membuang najis yang secukupnya untuk tempoh masa ketika anda tiada di rumah. Pastikan tempat membuang najis juga mempunyai persekitaran udara yang baik atau bahan yang boleh menyerap bau.
Selain itu, pastikan ruang keluar masuk di dalam rumah dalam keadaan tertutup dengan baik supaya haiwan kesayangan anda tidak boleh keluar.
Maklumkan kepada jiran yang boleh anda percayai mengenai haiwan kesayangan hanya berada bersendirian dan berikan nombor yang boleh dihubungi sekiranya berlaku kecemasan.
5. Tempoh percubaan
Sebenarnya terdapat sesetengah haiwan kesayangan yang sudah biasa berada di dalam rumah, akan merasa tertekan apabila berada di tempat yang baharu.
Akibat tekanan itu, boleh menyebabkannya ia sakit. Malah, ada juga haiwan yang terlalu manja tidak pernah ditinggalkan bersendirian akan merasa tertekan disebabkan hal itu.
Jadi, anda perlu membuat satu tempoh percubaan iaitu meletakkannya di dalam bilik lain dalam beberapa jam untuk melihat keadaannya jika bersendiri.
Dalam tempoh percubaan itu, letakkan keperluan yang secukupnya. Kemudian, anda boleh menilai keadaan si manja sama ada berubah tingkah laku yang ketara atau dalam keadaan baik.
Latihan ini mungkin boleh membantu si manja anda melatih diri untuk berada bersendirian di dalam rumah bersendirian dari semasa ke semasa. - HARIAN METRO
|