KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan selepas didapati mengambil dadah oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Kesalahan ini merupakan yang terbaharu selepas tujuh sabitan lampau berkaitan dadah.
Hairul Adam Azmi, 34, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Hurman Hussain.
Hairul didapati positif dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine pada 27 Mei 2024, kira-kira jam 10 pagi, di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, daerah Ranau.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 38B akta tersebut.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak melebihi 13 tahun, serta dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada tiga sebatan dan tidak lebih daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh juga dikehendaki menjalani pengawasan selama tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tertuduh sebelum ini mempunyai empat sabitan kesalahan memiliki dadah dan tiga sabitan mengambil syabu antara tahun 2014 hingga 2020.
Hukuman tertinggi yang pernah dikenakan terhadapnya adalah pada tahun 2019, iaitu penjara lima tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 30 Ogos 2018 dan satu sebatan di bawah Seksyen 39C(1) ADB 1952.
Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir mengendalikan pendakwaan. - SABAH MEDIA
|