Cantik adalah subjektif dan bagi seorang wanita, ia boleh mendatangkan kesan yang positif dalam pelbagai aspek kehidupan.
Kecantikan bagaimanapun perlu seiring dan kesihatan supaya ia dapat menambahkan lagi keyakinan diri terutama ketika berada di khalayak.
Namun, untuk mengekalkan kecantikan dan kesihatan bukanlah perkara mudah serta memerlukan komitmen tinggi.
Bagi memastikan kulit wajah kekal sihat dan cantik misalnya, tidak boleh culas atau mengambil mudah rutin penjagaannya.
Kulit wajah juga perlu konsisten dijaga dan sebaiknya sejak remaja lagi.
Kali ini, WM berkongsi petua penjagaan kesihatan dan kecantikan mudah untuk diamalkan di rumah setiap hari.
RENDAMAN AIS
Merendam muka dalam ais setiap pagi dapat membantu mengurangkan mata bengkak, memastikan wajah kekal segar dan tidak kusam.
Selain itu, amalan itu juga dapat membantu mengecilkan liang pori-pori, melembapkan wajah, menegangkan kulit dan jika ada jerawat, boleh mematikan bakteria.
Krim pelindung matahari
Pemakaian krim pelindung matahari penting bagi melindungi kulit daripada sinar matahari yang merbahaya.
Pendedahan kepada sinar matahari tanpa sebarang perlindungan secara berterusan boleh boleh menyebabkan masalah kulit seperti kedutan, hiperpigmentasi dan kanser kulit di kawasan yang sering diabaikan itu.
Masker bahan semula jadi
Topeng wajah atau masker daripada bahan semula jadi boleh membantu menjaga kecantikan kulit wajah.
Kunyit yang dicampur tepung beras mampu menjadi agen penanggal sel mati. Ia juga dapat membantu mengeringkan jerawat dan mengurangkan lebihan minyak pada muka.
Selain itu, dadih pula akan mengawal penghasilan sebum supaya kulit kurang berminyak dan kuman baik dalam dadih bagus untuk melawan virus penyebab jerawat.
Madu yang bersifat antiradang dan antikuman pula boleh meredakan jerawat sekali gus melembapkan kulit supaya lembut dan cerah bersinar.
Pemakanan sihat
Pemakanan yang sihat juga penting untuk menjaga kecantikan dan kesihatan kulit wajah.
Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran untuk keperluan dalaman badan dapat membantu mengekalkan penghidratan serta keanjalan kulit wajah.
Selain itu, minum air secukupnya dapat membantu penghadaman dan mengeluarkan toksin dalam badan.
Ia dapat membantu mengekalkan kelembapan kulit dan menjadikannya lebih tegang kerana badan yang mendapat bekalan air mencukupi.
Senaman
Biar apapun petua yang diamalkan ia perlu disusuli dengan senaman ringan tiga atau empat kali seminggu. Senaman bukan sahaja dapat menguatkan stamina malah membantu melancarkan peredaran darah dan pernafasan. Ia juga dapat membantu mengurangkan tekanan harian dan menjadikan tidur seseorang itu lebih lena.
Pemilihan kosmetik yang selamat
Terdapat banyak pilihan kosmetik yang ada di pasaran namun usah terpedaya dan sebaiknya teliti bahan buatannya. Kosmetik tanpa bahan kimia merbahaya perlu menjadi pilihan kerana meskipun hasilnya agak lambat ,tetapi ia tidak berbahaya kepada kesihatan wajah.- HARIAN METRO
|