CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 85|Reply: 1

[Pulau Pinang] Ramli Ngah Talib angkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang

[Copy link]
Post time 1-5-2025 11:00 AM | Show all posts |Read mode
Ramli Ngah Talib angkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang

Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Mei 1, 2025 @ 10:51am




Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang baharu, Tun Ramli Ngah Talib memeriksa Kawalan Kehormatan dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja Sempena Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang KE-9 di Dewan Sri Pinang, Georgetown. - Foto NSTP/Mikail Ong



GEORGETOWN: Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tun Ramli Ngah Talib mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan dalam satu majlis penuh istiadat di Dewan Sri Pinang, di sini, hari ini.

Pada majlis itu Ramli, 84, mengangkat sumpah jawatan dan kemudiannya menandatangani surat sumpah itu dengan disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Rozana Ali Yusoff dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Zulkifli Long.

Yang turut hadir Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo serta barisan pimpinan negeri.

Sebelum itu, Ramli tiba di Dewan Sri Pinang bersama isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah pada jam 8.30 pagi.

Majlis istiadat dimulakan dengan pemeriksaan kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Mohd Solleh Jamal dengan Sarjan Mejar Rejimen (SMR) Pegawai Waran 1, Mohd Redzuan Buang bertindak sebagai SMR perbarisan.

Sebanyak 17 das tembakan dilepaskan semasa upacara Kawalan Kehormatan Utama (KKU) menyambut ketibaan beliau oleh Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dengan pancaragam dari Pusat Rejimen Renjer Diraja pimpinan Kapten Mohd Fahmy Harun turut menyerikan majlis.

Ramli dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Mei 2025 hingga 30 April 2029.

Pelantikan Ramli bagi menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, 76, yang menyandang jawatan itu dari 1 Mei 2021 hingga 30 April 2025.

Dalam majlis sama, Ramli turut dianugerahkan darjah kebesaran negeri iaitu Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama, yang disampaikan oleh Kon Yeow.

Ketika menyampaikan ucapan tahniah dan taat setia kepada Yang Dipertua Negeri yang baharu, Kon Yeow menyifatkan keperibadian dan kepemimpinan Ramli menjulang martabat negarawan sejati selaku tokoh berwibawa yang cukup disegani dalam lipatan sejarah pemerintahan negara.

"Saya yakin, di bawah naungan kepemimpinan dan kebijaksanaan Tuan Yang Terutama Tun, negeri Pulau Pinang akan terus bersinar, dipandu oleh ilham serta semangat baharu ke arah masa depan yang lebih gemilang, sejahtera dan makmur," katanya.

Sebagai rekod, anak jati Pasir Salak, Perak yang dilahirkan pada 16 Mac 1941 itu pernah menyandang jawatan penting pada peringkat Persekutuan dan negeri.

Beliau adalah Menteri Besar Perak paling lama berkhidmat dalam sejarah negeri berkenaan iaitu selama 17 tahun antara 1982 hingga 1999.

Kerjaya politik Ramli bermula pada 1978 apabila dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah dan seterusnya dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

Selepas meninggalkan pentadbiran negeri, beliau terus menyumbang di peringkat nasional sebagai Ahli Parlimen Pasir Salak bermula 2004 dan dalam penggal pertamanya sebagai wakil rakyat, beliau diberi kepercayaan untuk mengetuai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), sebelum menjawat jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat dari 2004 hingga 2008.

Beliau juga pernah memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dari 2000 hingga 2004.

Dalam politik, beliau menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak selama 16 tahun iaitu dari 1984 hingga 2000 dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama lebih dua dekad.

Daripada sudut akademik, Ramli mendapat pendidikan awal di Kolej Melayu Kuala Kangsar yang berprestij dan kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Queen's University, Belfast sebelum ditauliahkan sebagai Barrister-at-Law dari Lincoln's Inn, London.

Ketika di United Kingdom, beliau turut aktif dalam Kesatuan Pelajar di Belfast dan menjadi editor majalah Kesatuan Melayu United Kingdom.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/05/1390891/ramli-ngah-talib-angkat-sumpah-sebagai-yang-dipertua-negeri-pulau





Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 1-5-2025 12:53 PM | Show all posts
Edited by sfhzuraz at 1-5-2025 12:54 PM

Tun Ramli angkat sumpah TYT Pulau Pinang ke-9

SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
01 Mei 2025 10:59am




Ramli mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-9 dalam satu istiadat rasmi yang berlangsung di Dewan Sri Pinang pada Khamis.



GEORGE TOWN – Tun Ramli Ngah Talib mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-9 dalam satu istiadat rasmi yang berlangsung di Dewan Sri Pinang, di sini pada Khamis.

Istiadat angkat sumpah itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zulkifli Long dan disaksikan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Law Choo Kiang serta Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Rozana Ali Yusoff.


Turut hadir Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo serta barisan pimpinan negeri.

Ramli sebelum itu tiba di Dewan Sri Pinang bersama isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah pada jam 8.30 pagi.




Ramli tiba di Dewan Sri Pinang bersama isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah pada pagi Khamis.



Majlis istiadat tersebut dimulakan dengan pemeriksaan kawalan kehormatan yang diketuai Mejar Mohd Salleh Jamal melibatkan tiga pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja sebelum Ramli diarak masuk ke dewan.

Ramli turut menandatangani surat sumpah jawatan dalam majlis berkenaan yang disaksikan oleh Rozana dan Zulkifli.


Dalam majlis sama, Ramli telah dianugerahkan Darjah Utama Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.


Majlis angkat sumpah itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman.

Sebanyak 17 das tembakan dilepaskan semasa upacara Kawalan Kehormatan Utama menyambut ketibaan Yang di-Pertua Negeri oleh Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja.

Ramli, 84, dilantik sebagai TYT Pulau Pinang ke-9 bagi menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak selepas memegang jawatan itu selama satu penggal iaitu pada Mei 2021.

Pelantikan Ramli berkuat kuasa selama empat tahun iaitu bermula 1 Mei 2025 sehingga Mei 2029.

Ramli berkhidmat sebagai Menteri Besar Perak ke-8 dari 1983 hingga 1999.

Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampong Gajah dari 1978 hingga 1999, sebelum menjadi Ahli Parlimen Pasir Salak dari 1999 hingga 2008.


Ramli dianugerahkan Darjah Utama Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.



Sementara itu, Kon Yeow dalam ucapannya berkata, beliau bersama-sama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ADUN, Ahli Parlimen, barisan kepimpinan dari pelbagai peringkat serta seluruh rakyat Pulau Pinang memperbaharui ikrar taat setia kepada kepimpinan Ramli.

"Pelantikan Tun sebagai Ketua Negeri Pulau Pinang yang ke-9 merupakan satu anugerah yang amat besar maknanya buat seluruh rakyat negeri ini.

"Tun memiliki rekod perkhidmatan yang amat cemerlang, termasuk pernah menerajui Perak Darul Ridzuan sebagai Menteri Besar selama hampir 17 tahun serta menyumbangkan khidmat bakti di peringkat Persekutuan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat selama lebih tiga tahun," katanya.

Tambah Kon Yeow, keperibadian dan kepimpinan Ramli menjulang martabat seorang negarawan sejati, tokoh berwibawa yang cukup disegani dalam lipatan sejarah pemerintahan negara.

"Saya yakin, di bawah naungan kepimpinan dan kebijaksanaan Tun, Pulau Pinang akan terus bersinar, dipandu oleh ilham serta semangat baharu ke arah masa depan yang lebih gemilang, sejahtera dan makmur," katanya.

https://www.sinarharian.com.my/article/726065/berita/nasional/tun-ramli-angkat-sumpah-tyt-pulau-pinang-ke-9


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-5-2025 10:20 PM GMT+8 , Processed in 0.057706 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list