Pulau Pinang hargai sumbangan, kenang jasa Tun Ahmad Fuzi
MOHD ISKANDAR OTHMAN
30 April 2025 07:10pm

Tun Ahmad Fuzi (lima dari kiri) dan Toh Puan Khadijah bergambar bersama Kon Yeow serta jemputan yang hadir pada Majlis Makan Malam Junjungan Kasih Sanjungan Budi yang dianjurkan kerajaan negeri baru-baru ini.
GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang merakamkan penghargaan kepada Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak atas segala jasa dan sumbangan beliau sepanjang memegang jawatan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kelapan sejak 1 Mei 2021.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, seluruh jentera kepimpinan negeri menzahirkan ucapan terima kasih terhadap khidmat bakti Tun Ahmad Fuzi terhadap pentadbiran kerajaan negeri dan rakyat Pulau Pinang.
Menurutnya, jasa beliau ibarat intan manikam bersilang nilam, cahaya melimpah serata negeri dan akan terus dikenang dalam lipatan sejarah negeri.
"Segala jasa, khidmat dan sumbangan Tun Ahmad Fuzi akan terus dikenang dalam lipatan sejarah negeri.
"Saya juga akan terus berpegang kepada amanat beliau agar negeri ini mengekalkan kestabilan politik, memperkukuh pertumbuhan ekonomi serta memperluas kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan terhadap kerendahan diri, dedikasi dan kebijaksanaan Tun Ahmad Fuzi yang dianggap sebagai pedoman kepada kepimpinan negeri dalam usaha membangunkan Pulau Pinang ke tahap yang lebih baik.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Toh Puan Khadijah Mohd Nor atas sumbangan besar beliau dalam aspek kebajikan dan pembangunan wanita di negeri ini.
"Ketokohan Toh Puan ibarat bunga mekar yang mengharumkan keseluruhan taman yang didiami warga Pulau Pinang dalam suasana harmoni dan kasih sayang," katanya lagi.
Ahmad Fuzi yang dilantik pada 1 Mei 2021 akan tamat penggal perkhidmatan pada 30 April ini dan tempat beliau akan digantikan oleh Tun Ramli Ngah Talib sebagai Yang Dipertua Pulau Pinang kesembilan berkuat kuasa 1 Mei 2025.
https://www.sinarharian.com.my/article/725993/edisi/utara/pulau-pinang-hargai-sumbangan-kenang-jasa-tun-ahmad-fuzi
|