Butterworth: Seorang pemandu lori didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan cuba merasuah anggota polis bagi mengelak dirinya ditahan atas kesalahan memiliki air ketum.
Tertuduh, Tang Chin Haur, 45, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu menawarkan satu suapan wang tunai RM3,900 kepada Koperal Mohd Aliyudin Abdul Aziz sebagai dorongan dia tidak diambil tindakan undang-undang kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 iaitu memiliki cecair dipercayai air ketum.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di khemah sekatan jalan raya di Jalan Sungai Bakau, Nibong Tebal pada 27 Jun 2021.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkifli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, Chin Haur merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan berikutan menanggung ibu bapanya, isteri dan seorang anak yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM8,000 dan sekiranya tertuduh gagal bayar, dia akan dipenjara selama tiga bulan.
Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.