CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 123|Reply: 0

Keseronokan membidik burung 'rare'

[Copy link]
Post time 30-4-2025 11:45 AM | Show all posts |Read mode


DI pinggir sebuah hutan, kelihatan sekumpulan individu dengan berpakaian samaran hutan sedang khusyuk membidik gambar burung dengan menggunakan kamera DSLR yang dilengkapi lensa telefoto zoom.


Kadang kala mereka perlu meredah hutan tebal selama beberapa jam semata-mata untuk mendapatkan gambar spesies burung 'rare' sekali gus memberi kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.


Selain berdepan risiko keselamatan, kebarangkalian untuk pulang dengan tangan kosong juga tinggi kerana sifat semula jadi burung yang tidak dapat diramal tingkah lakunya dan juga pergerakan bermusim mereka. Biarpun 'dihadap' dengan pelbagai cabaran, ia sama sekali tidak mematahkan semangat pembidik burung untuk terus melakukan aktiviti itu.


Bagi Tuan Zhariff Tuan Zakaria, minat terhadap aktiviti memburung tercetus apabila dia ditugaskan untuk mengambil gambar burung di sekitar Kelantan dalam penghasilan buku bertajuk 'Birds Of Kelantan.'


"Selepas tugas menyediakan lebih 300 gambar spesies burung di sekitar Kelantan selesai, minat terhadap aktiviti ini semakin meningkat kerana tertarik dengan keunikan burung itu sendiri apabila dilihat melalui gambar yang diperoleh.


"Ia termasuk bulunya yang berwarna warni, morfologi, aksi dan karakter burung yang menarik minat saya untuk terbabit lebih serius dengan aktiviti ini.




"Saya mengambil keputusan untuk membeli kamera dan lensa sendiri yang dianggarkan berharga belasan ribu ringgit untuk mendapatkan gambar yang lebih menarik," katanya.


Menurutnya, sejak itu, ke mana sahaja lokasi yang dikunjungi termasuk untuk bekerja atau bercuti, dia akan mengusung kamera dan 'lens' untuk mengambil gambar burung.


"Setiap lokasi yang dikunjungi memiliki burung yang berbeza, sayang jika saya tidak dimanfaatkan untuk mencuri masa mengambil gambar burung. Selain dapat meluangkan masa bersama keluarga, saya dapat penuhi minat.


Tuan Zhariff berkata, sepanjang terbabit dengan aktiviti itu, banyak pengalaman menarik yang diperoleh. "Antara pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan apabila, saya secara tidak sengaja mengambil burung spesies Umber Flycatcher di Pasir Puteh, Kelantan.


"Pensyarah yang sedang membuat kajian berkenaan burung juga terkejut apabila melihat gambar itu kerana spesies berkenaan belum pernah direkodkan ditemui di negara ini," katanya.




Seorang lagi peminat aktiviti memburung adalah Hafiz Ikhlas yang tidak menyangka daripada hobi dia berjaya meraih pendapatan sampingan yang lumayan hasil daripada jualan gambar dan video burung.


Kongsi Hafiz, pembabitannya dalam aktiviti mengambil gambar burung adalah sekadar hobi dan tidak pernah terlintas untuk meraih pendapatan.


Katanya, perkongsian gambar dan video di media sosial sekadar untuk menyimpan hasil kerja untuk tatapan orang ramai yang berkongsi minat yang sama.


"Bagaimanapun, gambar dan video itu berjaya menarik perhatian ramai pihak termasuk agensi pengiklanan dan pereka.


"Ada yang membeli gambar untuk penghasilan buku dan ada pereka dari luar negara yang ingin menggunakan (gambar) bagi penghasilan baju bertemakan corak dan warna daripada burung berkenaan dengan bayaran agak lumayan.


"Bukan itu sahaja, saya juga mendapat permintaan daripada peminat burung dari luar negara seperti India, Indonesia dan Thailand untuk menjadi 'bird guide' di sekitar lokasi tumpuan peminat burung di negara," katanya.


Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan, Dr Aainaa Syazwani Mohamad Amir Hamzah berpendapat, aktiviti berkaitan burung memainkan peranan penting dalam pemeliharaan dan pemuliharaan burung serta habitat haiwan itu terutamanya di Malaysia.


Beliau berkata, pemerhati burung sering kali mencatat penemuan mereka melalui aplikasi atau platform dalam talian yang menyediakan data kepada para pengkaji.


"Ini membantu saintis mengumpul data secara lebih meluas mengenai spesies burung, migrasi dan status populasi burung, tanpa perlu turun padang setiap masa.


"Sebagai seorang pengkaji, aktiviti ini dapat memberikan banyak maklumat lapangan yang penting seperti populasi burung di sesuatu kawasan dan perubahan tingkah laku burung dalam jangka panjang.




"Data yang dikumpul pemerhati burung amatur ini sangat bernilai untuk analisis saintifik, menjimatkan masa dan sumber untuk pengkaji," katanya.


Menurutnya, pada masa sama, aktiviti ini juga dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan burung dan habitat semula jadi burung.


Perkara sama diakui Pengerusi Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST), Sulaiman Salikan yang melihat burung sebagai salah satu indikator kepada kelestarian alam.


"Lebih banyak spesies burung yang ditemui di sesuatu kawasan akan memberi gambaran terhadap kelestarian alam di kawasan terbabit.


"Oleh itu aktiviti berkaitan burung ini dirasakan dapat membantu para penyelidik, perancang dan pihak berwajib untuk menitik beratkan biodiversiti di sekitar kita untuk memastikan kelestarian alam dapat dikekalkan bagi kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan," katanya. - HARIAN METRO


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Hobi & Koleksi


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-5-2025 11:58 AM GMT+8 , Processed in 0.333155 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list