
Zambry semasa sesi libat urus sebagai sebahagian daripada program KARISMA MPP IPT 2025 yang diadakan di AKEPT, semalam.
KUALA LUMPUR: Kepimpinan mahasiswa mesti dipupuk melalui karakter berintegriti, kemahiran komunikasi yang mantap serta keupayaan membuat keputusan berasaskan maklumat yang sahih, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau menegaskan perkara tersebut ketika sesi libat urus bersama ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sempena program KARISMA MPP IPT 2025di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), semalam.
Zambry menekankan aspek utama yang perlu ada dalam kalangan pemimpin muda, termasuk kemahiran berkomunikasi dengan yakin, keupayaan membina pasukan yang berprestasi tinggi, serta sikap tanggungjawab dan kebertanggungjawaban yang mendalam terhadap keputusan yang dibuat.
Beliau turut menyeru para pelajar untuk memahami konsep "Informed Decision", iaitu amalan membuat keputusan berasaskan fakta dan penilaian rasional, bukan dipengaruhi dengan sentimen media sosial atau lambakan maklumat yang bersifat berat sebelah.
Menyentuh konteks pemerkasaan pendidikan, beliau menekankan bahawa kerajaan membuka lebih banyak laluan akademik daripada politeknik dan kolej komuniti ke universiti, selaras dengan usaha memperkasakan peranan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kerangka pendidikan tinggi negara.
Sesi tersebut turut membincangkan soal kebajikan pelajar, khususnya bagi golongan B40.
Antara cadangan yang diketengahkan termasuklah peruntukan geran khas bagi mengukuhkan inisiatif seperti Bank Makanan di kampus, penambahbaikan elaun latihan industri (LI), serta sokongan kepada pelajar dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP).
Sesi libat urus ini mengukuhkan komitmen kementerian terhadap dialog terbuka yang merangkumi aspek mendengar, memahami dan membimbing komuniti pelajar ke arah membentuk generasi baharu pemimpin Malaysia yang progresif, berdaya saing serta berteraskan nilai-nilai Malaysia MADANI.
Program KARISMA MPP IPT 2025 yang berlangsung dari 25 hingga 28 April telah menghimpunkan seramai 110 pemimpin pelajar dari universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta, politeknik dan kolej komuniti seluruh negara.
Para peserta terdiri daripada wakil 19 universiti awam, enam institusi swasta, 21 politeknik dan 12 kolej komuniti.
Program berasrama ini dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama AKEPT dan Akademi Kenegaraan (AK) tersebut mengetengahkan konsep latihan “hands-on, minds-on, dan hearts-on” yang memberi penekanan kepada pembangunan sahsiah, integriti dan pembinaan rangkaian kepimpinan pelajar di peringkat nasional.
Kementerian Pendidikan Tinggi mengulangi komitmennya dalam melaksanakan inisiatif pembangunan kepimpinan seperti KARISMA bagi memastikan Malaysia terus melahirkan barisan pemimpin masa depan yang berkualiti tinggi dan selaras dengan aspirasi negara di bawah kerangka Malaysia MADANI.
|