SANDAKAN: Sebuah syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi di daerah ini dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) setelah didapati gagal mematuhi arahan edaran yang ditetapkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia.
Tindakan diambil selepas satu operasi pengauditan oleh pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan pada 25 April lalu, mendapati syarikat terbabit hanya mengedarkan 21 tan metrik minyak masak paket bersubsidi satu kilogram daripada jumlah keseluruhan 34 tan metrik yang sepatutnya diagihkan ke premis perniagaan seperti yang diarahkan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, hasil siasatan lanjut mendapati baki 13 tan metrik minyak masak paket bersubsidi telah diagihkan ke lokasi lain tanpa kebenaran Pengawal Bekalan, sekali gus melanggar syarat edaran yang ditetapkan sejak Ogos 2024.
“KPDN Sandakan telah menyita dokumen penting termasuk invois, resit jualan, buku stok dan lesen barang kawalan (CSA) syarikat terbabit untuk siasatan lanjut.
“Penetapan lokasi penghantaran minyak masak bersubsidi ini dilaksanakan bagi membanteras penyelewengan dan memastikan bekalan benar-benar sampai kepada golongan sasar,” katanya dalam kenyataan media hari ini (29 April).
Menurut Azdy, Akta Kawalan Bekalan 1961, syarikat yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya, denda boleh mencecah RM5 juta. Individu pula boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
KPDN menyeru semua pihak dalam rantaian pembekalan agar lebih bertanggungjawab dan menegaskan komitmen mereka dalam menyalurkan subsidi dengan telus dan berintegriti.
Orang awam turut digalakkan melaporkan sebarang penyelewengan melalui saluran rasmi KPDN seperti WhatsApp (019-8488000), portal e-aduan, talian bebas tol atau aplikasi Ez ADU KPDN serta surat rasmi ke KPDN yang berdekatan. - SABAH MEDIA
|