
Rampasan dadah daripada suspek yang turut dicekup Rabu lalu. - Gambar IPD Kuching
KUCHING: Polis menahan tiga individu dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kuching melibatkan rampasan dadah jenis syabu bernilai lebih RM8,000.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian pertama pada Rabu lalu sekitar jam 9.45 malam, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sarawak telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun di tepi jalan Kampung Muara Tebas, Kuching.
“Polis turut merampas dadah disyaki syabu seberat 33.45 gram yang dianggarkan bernilai RM3,300.
“Hasil saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya menerusi satu kenyataan.
Suspek kini direman selama lima hari sehingga 29 April 2025 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.
Dalam kes kedua, Alexson memaklumkan bahawa serbuan dilakukan sekitar jam 12.50 pagi pada 24 April di kawasan parkir Timberland Park, Kuching.
Menurutnya, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 29 tahun serta merampas syabu seberat 52.75 gram bernilai RM5,300.
“Siasatan mendapati lelaki terbabit mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine, manakala wanita terbabit mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah dan turut didapati positif dadah jenis yang sama,” jelas beliau.
Kedua-dua suspek kini direman selama enam hari sehingga 30 April depan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Alexson turut menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah kepada pihak polis.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak berkuasa membanteras jenayah dadah di kawasan mereka,” katanya.
|