
TINJAU: Theresa bersama Rano semasa meninjau jambatan Kampung Numbak.
KOTA KINABALU: Penduduk Kampung Numbak yang juha pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api menghantar permohonan bagi membaiki jambatan kayu uzur serta rumah rosak yang memerlukan perhatian segera.
Aduan disampaikan kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Api-Api yang baharu dilantik, Theresa Chong Mui Lan, semasa lawatan beliau ke kampung terbabit Rabu lalu.
Menurut Ketua Penyelaras Kampung Numbak bagi DUN Api-Api, Rano Buisay, isu berkenaan pernah dibangkitkan kepada PPM Api-Api sebelum ini, namun tiada tindakan sewajarnya diambil sehingga kini.
“Penduduk yang terjejas memohon agar rumah mereka yang usang serta jambatan kayu yang rosak itu dibaiki segera.
“Mereka juga meminta agar jeti pendek sedia ada dipanjangkan sebanyak 50 kaki, serta dilengkapi dengan bumbung dan pagar keselamatan demi keselamatan anak-anak yang menggunakan kemudahan itu untuk menaiki bot ke sekolah setiap hari,” katanya.
Theresa berkata, beliau akan menyampaikan permintaan penduduk kampung kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api, Datuk Seri Christina Liew untuk tindakan lanjut.
Chong turut diiringi oleh Pegawai Khas kepada Christina, Robert Penggai dalam lawatan berkenaan.
|