Edited by sfhzuraz at 24-4-2025 03:33 AM
Ramli TYT baharu Pulau Pinang?
MOHD ISKANDAR OTHMAN
23 April 2025 08:43pm

RAMLI NGAH TALIB. Foto Sinar Harian-MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
GEORGE TOWN - Bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Ramli Ngah Talib, dikhabarkan bakal dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang kesembilan menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang baru satu penggal berkhidmat.
Menurut sumber, satu majlis penyerahan watikah lantikan akan diadakan di Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Khamis.
Namun, setakat petang Rabu tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri mahupun pihak Istana Negara.
Ramli, 84, merupakan tokoh politik berpengalaman luas yang telah memegang pelbagai jawatan penting di peringkat negeri dan persekutuan.
Beliau berkhidmat sebagai Menteri Besar Perak dari tahun 1982 hingga 1999, sebelum dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dari tahun 2004 hingga 2008.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersama isteri Toh Puan Khadijah Mohd Nor (kanan) beramah mesra dengan para hadirin pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Negeri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2025 di PICCA Convention Centre@Butterworth Arena. Foto Bernama
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pro-Canselor Universiti Malaya dan aktif dalam bidang penulisan, khususnya berkaitan sejarah dan warisan Melayu.
Sekiranya pelantikan ini disahkan, Ramli akan menggantikan Tun Ahmad Fuzi, 76, yang memegang jawatan TYT Pulau Pinang sejak 1 Mei 2021.
Tun Ahmad Fuzi sebelum ini merupakan seorang diplomat kanan yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri dan seterusnya dilantik sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dari 2004 hingga 2009.
Sumbangan beliau dalam memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia serta peranannya dalam memperkasa institusi Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang sepanjang tiga tahun terakhir ini dihargai oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Pelantikan Yang di-Pertua Negeri adalah tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat Perdana Menteri, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pelantikan Yang di-Pertua Negeri yang baharu masih menjadi teka-teki apabila tiada sebarang nama individu didedahkan untuk mengisi jawatan tersebut.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, urusan pelantikan adalah urusan pihak istana selepas senarai nama diserahkan oleh kerajaan negeri kepada Pejabat Perdana Menteri pada Mac lalu.
Beliau bagaimanapun masih dengan pendiriannya yang enggan mendedahkan nama individu yang bakal mengisi jawatan berkenaan selain memberi jawapan bersifat umum.
Terdahulu, timbul khabar angin mengenai nama-nama calon yang bakal Tun Ahmad Fuzi, termasuk nama Ramli.
Untuk rekod, tiga TYT Pulau Pinang sebelum ini bukan berasal dari negeri ini iaitu Tun Sardon Jubir dari Rengit, Batu Pahat, Johor dan berkhidmat daripada 1975 hingga 1981.
Tun Awang Hassan pula berasal dari Muar, Johor dan berkhidmat dari 1981 hingga 1989.
Selain itu, Tun Hamdan Sheikh Tahir, berasal dari Kuala Kangsar, Perak dan berkhidmat daripada 1989 hingga 2001.
https://www.sinarharian.com.my/article/724694/edisi/utara/ramli-tyt-baharu-pulau-pinang
|