Perkukuh peranan lahir doktor, jadi pusat pembangunan pakar penuhi keperluan penjagaan kesihatan di Sarawak

Peserta bengkel merakam gambar bersama Dr Sim (duduk empat kanan), Dr Hata (duduk empat kiri) serta tetamu yang lain. - Gambar UNIMAS
KUCHING: Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dijangka dibuka menjelang tahun 2027, kata Naib Canselornya Profesor Dr Ahmad Hata Rasit.
Beliau berkata, fasiliti baharu ini bukan sahaja akan memperkukuh peranan universiti dalam melahirkan doktor, malah akan menjadi pusat pembangunan pakar perubatan bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat di Sarawak.
“Kita akan mempunyai hospital pengajar baharu pada tahun 2026, sekiranya projek ini tidak mengalami kelewatan. Tetapi saya percaya menjelang tahun 2027, kita seharusnya dapat mengoperasikan hospital ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Bengkel Kadaverik UNIMAS 2025 yang dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian hari ini.
Beliau turut menyatakan harapan agar semua jabatan di UNIMAS dapat memperluas program masing-masing dan bukan sahaja melahirkan doktor, tetapi juga pakar yang dapat menyumbang kepada Sarawak, yang disasarkan menjadi negeri maju menjelang 2030.
Dr Hata juga berharap hospital pengajar baharu ini akan menjadi pemangkin kepada kepulangan tenaga profesional terlatih untuk berkhidmat di Sarawak serta berkongsi ilmu dengan generasi baharu pengamal perubatan.
Mengulas mengenai bengkel tersebut, Dr Hata menyifatkan penganjurannya sebagai bukti komitmen tinggi komuniti perubatan dalam memperkasa kesihatan dan pendidikan di rantau ini.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran pakar tempatan dan antarabangsa, pakar bedah muda serta fasilitator dari Malaysia dan negara-negara ASEAN ke bengkel yang berlangsung selama 10 hari itu.
“Bengkel ini akan merangkumi pelbagai latihan pembedahan lanjutan termasuk implan otologi, pembedahan endoskopik sinus, prosedur endoskopik pangkal tengkorak, pembedahan tulang temporal, pembedahan kepala dan leher serta pembedahan terbuka pangkal tengkorak,” katanya.
Dalam pada itu sejak melancarkan perkhidmatan implan otologi di Sarawak pada 2012, UNIMAS bersama rakan kerjasama telah membantu hampir 200 pesakit mendapatkan semula pendengaran mereka melalui teknologi seperti implan Bonebridge, koklea, implan telinga tengah dan juga implan batang otak auditori.
Naib Canselor itu turut mengumumkan pelancaran Hari Kesedaran Rinosinusitis Kronik sebagai sebahagian daripada bengkel tersebut, bertujuan meningkatkan pemahaman awam mengenai keadaan yang sering dipandang remeh ini.
|