CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1085|Reply: 0

'Misi not RM100'

[Copy link]
Post time 19-4-2025 11:16 PM | Show all posts |Read mode


Pinnacle Mulu adalah formasi batu kapur tajam menjadi antara simbol alam semula jadi tercantik di Malaysia.


Terletak dalam kawasan Taman Negara Mulu destinasi pelancongan ikonik di Sarawak ini berdiri megah setinggi 45 meter di puncak Gunung Api pada ketinggian 1,200 meter dari paras laut (mdpl).


'Di atas kertas', trek Pinnacle Mulu hanya sejauh 2.4 kilometer, namun sebelum dapat menikmati keindahan alam semula jadi ini, pendaki diuji dengan trek ekstrem dan curam yang memerlukan kekuatan mental serta fizikal yang tinggi.


Jadi, tidak hairan formasi yang terbentuk secara semula jadi sejak jutaan tahun lalu ini jadi salah satu 'bucket list' penting dalam dunia pendakian Malaysia.




Selain itu, hutan di Mulu sangat unik kerana menjadi habitat kepada pelbagai spesies pokok, orkid liar, kulat dan lumut yang eksotik, selain serangga unik, burung eksotik, haiwan liar dan kelawar.


Bagi Muhd Fuad Abdul Rahim, 44, Pinnacle Mulu antara lokasi impian bagi peminat fotografi dan aktiviti rekreasi sepertinya.


Katanya, dia mempunyai misi peribadi ingin melengkapkan 'misi not RM100' yang memaparkan dua ikon alam semula jadi Malaysia iaitu Gunung Kinabalu dan Pinnacle Mulu."Disebabkan gambar di wang kertas RM100 itu saya tertarik untuk melihat sendiri keindahan ciptaan Tuhan ini. Misi dimulakan pada 2022, apabila saya menawan puncak Gunung Kinabalu dan pada Februari lalu, saya melengkapkan misi ini ke Pinnacle Mulu," katanya.


Menyedari pendakian trek Pinnacle Mulu sangat mencabar, Muhd Fuad yang bertugas sebagai pensyarah di Politeknik Mukah membuat persediaan rapi daripada segi fizikal dan mental.


"Di Mukah tidak banyak kawasan berbukit. Oleh itu, hampir setiap hari saya berjoging secara konsisten serta melakukan pelbagai jenis senaman untuk membina kekuatan fizikal stamina dan daya tahan kerana pendakian ke Pinnacle Mulu menguji kekuatan seluruh tubuh.


"Saya juga buat bacaan awal, menonton video dan mengkaji trek supaya tidak terkejut apabila berada di sana," katanya.




Berkongsi perjalanan ekspedisi menawan Pinnacle Mulu, sebaik tiba di Lapangan Terbang Mulu dari Miri, Muhd Fuad bersama beberapa rakan pendaki terus ke ibu pejabat Taman Negara Gunung Mulu untuk urusan pendaftaran.


"Hari pertama kami menginap di rumah inap desa berhampiran. Pada sebelah petang, kami mengambil peluang lawatan ke dua gua ikonik iaitu Gua Lang dan Gua Rusa. Gua Lang kecil, tapi sarat formasi menarik, manakala Gua Rusa pula antara gua terbesar di dunia sangat mengagumkan.


"Paling memukau ialah fenomena 'bat exodus', jutaan kelawar keluar dari gua membentuk formasi unik di langit senja," katanya.


Pada hari kedua, mereka menaiki bot panjang ke Gua Angin dan Gua Air Jernih yang kaya dengan formasi batu kapur dan sejarah semula jadi.




"Dari situ, kami mula perjalanan sejauh sembilan kilometer ke Camp 5. Laluan ini cukup menenangkan apabila kami merentas titi gantung dengan dikelilingi hutan hujan dara dan bunyi alam.


"Camp 5 adalah sebuah penginapan asas yang terletak di tengah hutan hujan tropika, bersebelahan Sungai Melinau.


"Dengan berlatarbelakangkan gunung yang indah dan sungai jernih yang sangat menyegarkan untuk mandi, tempat ini sangat mendamaikan. Kami tidur awal sebagai persiapan untuk cabaran sebenar esok," katanya.


Muhd Fuad berkata, pada hari ketiga, ekspedisi dimulakan seawal 6 pagi yang memerlukan mereka tiba di Mini Pinnacle dalam masa sejam dan di tangga pertama sebelum 9 pagi.


"Sekiranya pendaki gagal sampai di salah satu lokasi berdasarkan masa ditetapkan, mereka perlu berpatah balik atas faktor keselamatan.




"Untuk tiba dalam masa ditetapkan bukan mudah kerana kami perlu menempuh mencanak, sempit dan sangat teknikal. Ada bahagian tangga 90 darjah dan perlu memanjat batu dengan menggunakan tali.


"Paling mencabar apabila berada di 400 meter terakhir, kami perlu melalui lebih 15 tangga aluminium yang berada pada kedudukan curam dan tinggi. Alhamdulillah selepas menempuh perjalanan selama empat jam, kami berjaya tiba di 'viewpoint' pada ketinggian 1,200 mdpl sekitar jam 10 pagi," katanya.


Katanya, sebaik melihat Pinnacle Mulu di depan mata, pelbagai perasaan menerpa dalam dirinya termasuk puas, sebak, kagum dan syukur selepas menempuh pelbagai cabaran serta kesukaran.


"Saya bangga apabila dapat realisasikan misi not RM100 yang turut menjadi impian ramai peminat aktiviti rekreasi di dalam mahupun luar negara


"Kami berehat sekitar sejam sebelum turun perlahan-lahan. Turun lebih mencabar kerana memerlukan fokus lebih tinggi kerana perlu menempuh laluan licin dan pada masa sama melawan gayat. Kami selamat tiba semula di Camp 5 pada 4 petang," katanya.


Selain dapat merealisasikan impian, Muhd Fuad melihat ekspedisi ini mengajar dirinya mengenai kekuatan mental, pentingnya kesabaran, nilai kerja berpasukan dan betapa kerdilnya kita di sisi alam.


"Ekspedisi ini mendidik saya lebih menghargai nikmat hidup, air bersih, tempat berteduh kerana semua itu menjadi sangat bermakna bila kita jauh dari keselesaan harian," katanya.


Muhd Fuad berkata, sekiranya diberi peluang, dia mempunyai keinginan untuk kembali semula bersama rakan lain bagi menikmati keindahan Pinnacle Mulu yang pastinya menyajikan pengalaman berbeza. - Harian Metro



This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: ExploRasa


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-5-2025 04:27 PM GMT+8 , Processed in 0.044038 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list