
BINTULU: Program Jom Masuk U 2025 (JMU 2025) Zon Sarawak 1 diadakan di Boulevard Shopping Mall Bintulu pada 26 hingga 27 April 2025 ini.
Program itu antara 10 zon jerayawara pendidikan tinggi di seluruh Malaysia yang bermula 22 Februari 2025 hingga 18 Mei 2025 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Jurucakap penganjurnya berkata, program itu merupakan inisiatif KPT yang bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai maklumat kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) serta menggalakkan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
"Pebagai aktiviti menarik telah dirangka antaranya pameran reruai pendidikan, pertandingan reka cipta, pertandingan e-Games, cabutan bertuah dan banyak lagi," katanya.
Menurutnya, sebanyak 20 universiti awam dan lebih 35 IPT awam dan IPT swasta akan menyertai pameran selama dua hari tersebut.
Selain itu katanya, pengunjung berpeluang bersua dengan pihak KPT dan mendapatkan khidmat nasihat secara langsung bgi pengisian UPU Online.
"Pengisian UPU Online telah dibuka semula dari 14 April hingga 18 Mei 2025," katanya.
Katanya, program ini merupakan penganjuran kali kedua oleh KPT dan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) sebagai rakan strategik di Bintulu.
Jelasnya, program ini juga akan turut mendapat kerjasama daripada sekolah-sekolah menengah sekitar Bintulu, Miri, Sibu, Mukah, Belaga, Limbang dan Lawas.
|