CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 82|Reply: 0

[Sabah] Kaedah insurans berkelompok tanpa nama, pendekatan kerajaan supaya semua rakyat dilindungi

[Copy link]
Post time 17-4-2025 08:36 AM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 17-4-2025 08:38 AM



KOTA KINABALU: Pelaksanaan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok Sabah dengan menggunakan pendekatan kaedah 'tanpa nama' adalah usaha kerajaan bagi memastikan semua rakyat Sabah yang memenuhi syarat akan terus dilindungi tanpa perlu melalui proses pendaftaran yang mungkin merumitkan.

Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, langkah itu juga bertujuan memudahkan sesetengah kumpulan tercicir, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman atau yang kurang celik digital.

Menurutnya, pendekatan di bawah Polisi Induk Insurans itu membolehkan kerajaan memanfaatkan ekonomi skala, di mana premium keseluruhan adalah lebih rendah berbanding sekiranya dilaksanakan secara individu.

Katanya, ia juga memudahkan pemantauan dan pentadbiran oleh agensi pelaksana tanpa beban pengurusan data peserta yang besar.

"Melalui pendekatan ini, pendaftaran individu sebagai peserta insurans tidak diperlukan. Sebaliknya, warganegara Sabah yang layak akan dilindungi secara automatik, tertakluk kepada syarat-syarat perlindungan yang akan diperincikan dan dimaklumkan kelak.

"Langkah ini diambil bagi memudahkan akses perlindungan kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, serta memastikan tiada warganegara Sabah yang tercicir daripada manfaat skim ini," katanya dalam ucapan penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.

Beliau berkata, skim polisi insurans tanpa nama bukan satu perkara yang baharu dengan mengambil contoh terdekat adalah insurans pendaki Gunung Kinabalu.

Menurutnya, pendaki tidak perlu mendaftar secara langsung dengan syarikat insurans. Sebaliknya, apabila seseorang mendaftar untuk mendaki gunung melalui ejen atau penganjur yang sah dan berdaftar, mereka secara automatik dilindungi di bawah polisi insurans kumpulan yang disediakan oleh pihak penganjur.

Jelasnya, nama mereka tidak perlu dimasukkan secara individu dalam polisi berkenaan kerana pendekatan yang digunakan membolehkan urusan perlindungan insurans menjadi lebih cekap, pantas dan inklusif.

"Skim Perlindungan Insurans Berkelompok Sabah adalah insurans perlindungan diri akibat kemalangan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Sabah untuk rakyat Sabah sekiranya berlaku perkara yang tidak diduga, yang mengakibatkan kematian dari kemalangan dan hilang upaya sebahagian serta kekal  berpunca dari kemalangan.

"Jumlah premium bagi pelaksanaan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok ini adalah sebanyak RM50 juta bagi tempoh tiga tahun, bermula dari 1 Mei 2025 hingga 30 April 2028.

"Pelaksanaan skim ini dikendalikan secara langsung oleh syarikat Progressive Insurance Bhd, tidak melibatkan sebarang orang tengah atau ejen luar, seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dari Lamag dan Darau.

"Pendekatan ini diambil bagi memastikan ketelusan, keberkesanan pelaksanaan serta penjimatan kos, seterusnya memaksimumkan manfaat kepada rakyat Sabah yang layak menerima perlindungan di bawah skim ini," jelasnya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, berdasarkan statistik yang dikemukakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kemalangan jalan raya di negeri Sabah terus menunjukkan peningkatan yang membimbangkan dari tahun ke tahun.

Katanya, pada 2020, jumlah keseluruhan kemalangan dicatatkan sebanyak 12,987 kes, dan angka itu meningkat kepada 20,828 kes pada 2024 iaitu peningkatan hampir 60 peratus dalam tempoh lima tahun.

"Lebih membimbangkan, jumlah kemalangan maut juga meningkat daripada 195 kes pada 2020 kepada 282 kes pada 2024, manakala jumlah mangsa yang terkorban meningkat daripada 220 kepada 319 orang dalam tempoh yang sama.

"Situasi yang membimbangkan ini jelas menekankan keperluan untuk melaksanakan perlindungan insurans berkelompok sebagai satu langkah proaktif oleh kerajaan.

"Inisiatif ini adalah untuk menyediakan jaringan keselamatan sosial yang kukuh, menjaga kebajikan rakyat, serta meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh keluarga mangsa, khususnya dalam kalangan golongan kurang berkemampuan dan isi rumah B40," katanya.

Beliau berkata, penjelasan yang lebih terperinci berkenaan syarat-syarat dan kelayakan akan diadakan melalui program kesedaran, hebahan dan jelajah penerangan program dengan kerjasama Pejabat-Pejabat Daerah, Majlis-Majlis Daerah, Jabatan Penerangan serta agensi-agensi yang berkaitan di daerah-daerah terpencil dalam masa terdekat.

Sehubungan itu,  beliau menyarankan supaya semua wakil rakyat mengambil peluang untuk menguar-uarkan perkara ini kepada penduduk di kawasan masing-masing.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

6-6-2025 09:06 AM GMT+8 , Processed in 0.220261 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list