Edited by sfhzuraz at 15-4-2025 05:59 PM
Tiada air, penduduk terpaksa tolak tetamu datang
SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
15 April 2025 12:30pm

Penduduk Banglo Bukit Bayu menunjukkan tangki air di kawasan perumahan mereka yang diharap mampu menampung keperluan ketika kecemasan. Gambar kecil: Adnan, Mustaffa, Idris
SUNGAI PETANI - Penduduk di kawasan perumahan Banglo Bukit Bayu, Sungai Lalang di sini terpaksa berdepan pelbagai kesukaran apabila gangguan bekalan air yang berlarutan sejak Jumaat lalu menjejaskan urusan harian mereka.
Penduduk, Mohad Sukor Hakimuddin, 57, berkata, situasi itu amat menyukarkan, terutamanya bagi mereka yang perlu keluar bekerja serta keluarga yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah.
Menurutnya, mereka juga berasa serba salah apabila terpaksa menolak kunjungan saudara-mara yang ingin beraya sempena Aidilfitri berikutan ketiadaan bekalan air.
]
Air hujan yang ditakung boleh digunakan untuk tujuan kecemasan selain minuman dan memasak kerana airnya keruh dan berkelodak.
“Apabila adik-beradik nak datang, bukan kita tak suka, tetapi jadi takut sebab tiada air,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Sementara itu, isterinya, Jamiah Shukor, 58, berkata, walaupun mereka telah menadah air menggunakan beberapa buah tong, bekalan itu masih tidak mencukupi kerana gangguan yang berpanjangan.
“Kena berjimat untuk memasak, mandi dan membasuh pakaian. Hujung minggu pula bila anak-anak balik, kami terpaksa makan di luar. Bekas pelajar saya nak datang beraya pun saya minta jangan datang sebab tiada bekalan air,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Adnan Nayan, 60, pula menggesa agar pihak berkenaan merancang sistem pengurusan yang lebih sistematik bagi menghadapi situasi kecemasan seperti ini.
“Saya nak tahu apa fungsi lapan tangki statik yang diletakkan di hadapan Surau Al-Muhsinin? Bolehkah ia dijadikan simpanan persediaan ketika berlaku kecemasan seperti ini?” soal beliau.
Bagi Mejar (B) Mustaffa Ibrahim, 63, rumahnya yang terletak di kawasan lebih tinggi menyukarkan penerimaan bekalan air apabila tekanan rendah.
“Dua hari lepas ada air, saya tunggu sampai malam untuk pastikan tangki penuh. Alhamdulillah, bertahan dua hari saja. Selepas itu, tangki kosong semula.
“Tak tahu bila akan berakhir. Minggu ini paling kritikal. Harap ada penyelesaiannya supaya masalah ini tidak berpanjangan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Banglo Bukit Bayu, Idris Osman berkata, masalah gangguan bekalan air di kawasan itu telah berlaku sejak tahun 2020 dan berterusan hingga ke hari ini.
Menurutnya, kira-kira 200 buah rumah terlibat dan kebanyakan penduduk meluahkan rasa kecewa kerana sering berdepan isu sama.
“Ramai penduduk sanggup berbelanja ribuan ringgit untuk memasang tangki tambahan sebagai langkah simpanan, tetapi usaha itu tetap gagal kerana gangguan berlarutan hingga beberapa hari, menyebabkan tangki simpanan pun habis,” ujarnya.
Beliau turut menggesa Syarikat Air Darul Aman (SADA) supaya memaklumkan sebarang gangguan bekalan lebih awal agar penduduk dapat membuat persiapan.
“Jika dapat kesan gangguan, maklumkan segera. Biar kami boleh rancang. Kami juga mohon SADA tingkatkan tekanan air di meter utama bagi membantu rumah di kawasan tinggi,” katanya.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, SADA memaklumkan bahawa gangguan air di kawasan Bukit Bayu berpunca daripada masalah sistem pengepaman pada 12 April lalu yang menyebabkan tangki menara kering.
Menurut kenyataan itu, sejak dua bulan lalu, sistem bekalan air ke Bukit Bayu serta Taman Seri Bayu I dan II diagihkan melalui tangki menara yang telah dibaiki oleh pihak pemaju, Hunza Properties.
“Akibat kerosakan pam, SADA menjalankan kerja-kerja pembaikan dan bekalan air kembali stabil serta dipam ke tangki menara pada hari yang sama.
“Pada Ahad, agihan semula bekalan dilakukan bagi menakung air di tangki menara. Bekalan ke Taman Seri Bayu I dan II dijangka kembali stabil selepas paras air tangki dipulihkan,” jelas kenyataan itu.
Bagaimanapun, katanya, kawasan Bukit Bayu sukar menerima bekalan kerana kedudukannya yang lebih tinggi dan memerlukan paras air sekurang-kurangnya 1.5 meter ke atas di dalam tangki.
“Pada Isnin, kerja-kerja flushing dan scouring turut dilaksanakan untuk mengeluarkan angin daripada sistem paip di sekitar kawasan terbabit.
“Bekalan air dijangka akan pulih secara berperingkat,” menurut kenyataan itu lagi.
https://www.sinarharian.com.my/article/722944/edisi/utara/tiada-air-penduduk-terpaksa-tolak-tetamu-datang
|