
Supani (kiri) dan Nurashwan (kanan) bercakap dengan peguam mereka Ralph (dua kiri) dan Christopher (dua kanan) mengenai kes tersebut semasa berada di lobi Kompleks Mahkamah Kuching.
KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengekalkan hukuman denda terhadap seorang bekas polis dan seorang bekas kakitangan Lembaga Pengurusan Penyu atas kesalahan memiliki telur penyu tanpa kebenaran Kontroler Hidupan Liar pada 2023.
Pesuruhjaya Kehakiman Zaleha Mohd Yusuf Pan membuat keputusan itu selepas menolak rayuan pihak pendakwaan selaku perayu bagi mengetepikan hukuman dan sabitan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen terhadap Nurashwan Sulaiman, 23 dan Supani Jumal, 65, pada April 2024.
Mahkamah mendapati tiada asas kukuh untuk campur tangan terhadap hukuman yang telah dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen terhadap kedua-dua responden tersebut.
Keputusan juga dibuat setelah meneliti dan memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap eksibit dan dokumen dalam rekod rayuan, hujahan bertulis pihak perayu dan responden serta setelah mendengar hujahan lisan kedua-dua pihak.
Pada 23 April 2024, Nurashwan dijatuhi hukuman denda RM26,450 atau penjara enam bulan selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 37 (1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.
Nurashwan melakukan kesalahan itu di sebatang jalan berdekatan Jeti Trusan Jaya 1, Sematan, Lundu kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 11 Oktober 2023.
Pada hari sama, Supani turut mengaku bersalah apabila didakwa atas dua pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 37 (1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan dijatuhi hukuman denda RM9,600 atau 11 bulan penjara.
Bagi pertuduhan pertama iaitu atas kesalahan memiliki 40 biji telur penyu, mahkamah menetapkan Supani didenda RM3,600 atau penjara lima bulan.
Sementara bagi pertuduhan kedua, Supani didenda RM6,000 atau penjara enam bulan iaitu atas kesalahan memiliki 190 biji telur penyu.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukannya pada 12 Ogos 2023, masing-masing di sebuah premis di Pasar Sematan, Lundu sekitar jam 9.35 malam dan di sebuah rumah di Kampung Tanah Hitam, Lundu sekitar jam 10 malam.
Bagi kedua-dua kes membabitkan Nurashwan dan Supani, pasukan Sarawak Forestry Corporation (SFC) mendapati mereka gagal menunjukkan sebarang kebenaran daripada Kontroler Hidupan Liar untuk memiliki telur penyu tersebut ketika serbuan dilakukan.
Siasatan mendapati telur penyu laut yang dirampas bagi kedua-dua kes adalah daripada spesies Chelonidae, haiwan yang dilindungi sepenuhnya seperti yang dinyatakan dalam Bahagian 1 Jadual Pertama dalam Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.
Untuk rekod, kedua-dua lelaki tersebut terdahulunya telah membayar denda dikenakan terhadap mereka.
Nurashwan dan Supani diwakili peguam Ralph Lee dan Christipher Bada.
Pihak pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya Ronald Felix Hardin bersama Pegawai Pendakwa Christie Sereni Philimon.
|