
Teo ketika ditemui selepas melawat dan merasmikan NADI Padungan di Kuching hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Kementerian Komunikasi akan memperluaskan kempen kesedaran digital ke sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara dalam usaha mendidik masyarakat tentang etika penggunaan Internet dan risiko dalam dunia digital.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, inisiatif ini akan melibatkan pelajar dari semua peringkat pendidikan termasuk sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti.
Menurutnya, ia bagi memastikan kefahaman mengenai keselamatan siber dapat dipupuk seawal mungkin.
“Dengan capaian Internet berkelajuan tinggi yang kini mencecah sehingga 800 Mbps di sesetengah kawasan seperti di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (NADI), masyarakat kini lebih mudah mengakses pelbagai kandungan dalam talian.
“Namun pada masa yang sama, ini turut membuka ruang kepada pelbagai cabaran keselamatan siber yang memerlukan perhatian serius,” katanya pada sidang media selepas melawat dan merasmikan NADI Pending dan NADI Padungan di sini, hari ini.
Menurut Teo, Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama inisiatif seperti NADI, sedang giat melaksanakan kempen ‘Internet Safe’ bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai keselamatan dalam dunia digital.
“Hasrat kami tahun ini adalah untuk turun ke sekolah dan universiti bagi berinteraksi secara langsung dengan para pelajar. Kita mahu mendidik mereka mengenai pentingnya beretika ketika menggunakan Internet dan memahami risiko yang wujud di alam maya,” jelasnya.
Beliau turut menasihati pengguna agar menggunakan kemudahan Internet secara beretika dan tidak menyalahgunakannya.
“Banyak akta telah diperbaharui dan akta baharu turut diperkenalkan bagi menangani isu-isu siber yang semakin kompleks.
“Oleh itu, penting untuk kita mengetatkan lagi undang-undang dan pada masa yang sama mendidik rakyat agar menjadi pengguna Internet yang bertanggungjawab,” ujarnya.
Malah tambahnya, orang ramai diingatkan agar berfikir sebelum memuat naik sesuatu kandungan di Internet.
“Jika sesuatu kenyataan itu tidak sesuai untuk disebut secara bersemuka dalam dunia sebenar, maka ia juga tidak wajar dijadikan kandungan di alam maya,” tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, pendidik dan ibu bapa, berganding bahu bagi memastikan ruang digital negara kekal selamat, beretika dan kondusif untuk semua.
|