
Julaihi ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Bersama Agensi 2025 semalam. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Kerajaan Sarawak komited memperkasakan peranan SACOFA Sdn Bhd (SACOFA) dalam usaha mempercepatkan peluasan kemudahan telekomunikasi di seluruh negeri.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, perkara itu susulan pengambilalihan SACOFA sebagai agensi majoriti milik Kerajaan Sarawak melalui Setiausaha Kewangan Negeri Diperbadankan (SFS Inc.).
“Justeru, adalah penting untuk kita memperkasakan peranan SACOFA bersama semua agensi dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi di Sarawak. “Dengan pengambilalihan ini, saya yakin banyak yang boleh kita lakukan bersama dengan pihak berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) bersama Agensi 2025 yang turut dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Julaihi berkata, SACOFA sebelum ini adalah milik beberapa pemegang saham dan salah satu daripadanya adalah Cahya Mata Sarawak (CMS).
“Jadi berlaku pengambalihan baru-baru ini di mana beberapa kepentingan telah diambil alih oleh SFS Inc. iaitu salah satu daripada pelaburan Kerajaan Sarawak.
“Maka Kerajaan Sarawak melalui SFS Incorporated mempunyai lebih daripada 51 peratus. Ini bermakna SACOFA adalah milik Kerajaan Sarawak meskipun CMS masih kekal sebagai salah satu pemegang saham.
“Ekoran itu, ada sedikit perubahan dari segi pengurusan sudah dilakukan.
“Dari segi pengurusan yang sudah berubah juga adalah komposisi lembaga pengarah.
“Seterusnya, kita juga akan melihat di mana kita perlu memperkasakan peranan SACOFA,” ujarnya.
Untuk rekod, SACOFA terus berkembang menjadi tulang belakang sistem komunikasi di Sarawak dengan lebih 1,688 menara telekomunikasi merangkumi 1,250 menara komersial dan 438 tapak di bawah inisiatif menara Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) serta rangkaian kabel gentian optik sejauh lebih 12,000 kilometer di seluruh negeri ini.
|