Meskipun berhadapan kekangan terutama persetujuan Ahli Parlimen parti lain namun TPM optimistik ia dapat dicapai

Fadillah (empat kanan) bergambar bersama (dari kiri), Tan Kai, Dayang Joanita, Fazzrudin, Dato Ibrahim Baki serta yang lain sebaik tiba di Dewan Haji Kamaruddin Ahmad, Kampung Segedup, Kuching hari ini.
KUCHING: Sarawak akan memfokuskan pemulangan kuasa sepenuhnya dalam bidang pendidikan dan kesihatan daripada Kerajaan Perpaduan MADANI di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof menegaskan, meskipun berhadapan kekangan terutama berkaitan persetujuan daripada Ahli Parlimen daripada parti lain namun optimistik ia dapat dicapai melihat hubungan rapat Sarawak dengan Kerajaan Perpaduan kini.
"Memang ada ketika kita berbeza pendapat dan mendapat tentangan daripada sebelah sana (Ahli Parlimen Semenanjung) namun berkat usaha gigih dan tekad dengan kebijaksanaan kepimpinan tertinggi kita berupaya mengambil pulang semua hak kita termasuk yang kita perjuangkan sekarang iaitu (bidang) pendidikan dan kesihatan," katanya.
Terdahulu, Fadillah berkata demikian semasa diminta mengulas tentang pencapaian dan hubungan dua hala Sarawak dalam Kerajaan Perpaduan MADANI pimpinan Anwar yang kini memasuki tahun ketiga pentadbiran semasa Program Jiwa Komuniti MADANI dan Media di Dewan Haji Kamaruddin Ahmad, Kampung Segedup, Kuching hari ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak merangkap ADUN Tupong Dato Fazzruddin Abdul Rahman, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Tan Kai, Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi dan para pemimpin masyarakat tempatan dan orang ramai di sekitar Kampung Segedup.
Tambahnya secara prinsip tuntutan Sarawak dalam dua bidang ini telah dipersetujui di peringkat pentadbiran namun cabaran ialah Kabinet telah bersetuju tetapi Kabinet dalam peringkat persekutuan, kita masih tertakluk kepada nasihat Peguam Negara yang merupakan penasihat undang-undang kepada Kabinet, kerajaan persekutuan, Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.
"Justeru bila kita bawa pandangan Sabah dan Sarawak ia tertakluk kepada penafsiran Peguam Negara...dan pandangan Peguam Negara berlainan dengan Sarawak dan ini yang menjadikan kita susah membuat keputusan.
"Maka itu, jika di peringkat persekutuan tidak dapat diselesaikan di peringkat jawatankuasa yang dipengerusikan oleh saya ia akan dibawa kepada majlis yang dipengerusikan oleh (Yang Amat Berhormat) YAB Perdana Menteri dengan dianggotai Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak akan duduk berbincang untuk membuat keputusan dasar.
"Dasar yang diputuskan dan dipersetujui itu harus diikuti oleh Peguam Negara untuk diambil tindakan yang sebenarnya memerlukan pemahaman yang bukan mudah untuk dibuat kerana ia melibatkan dasar dan undang-undang," katanya.
Justeru katanya, jika melihat dari segi sejarah, sememangnya Sarawak mempunyai hubungan yang sangat utuh bersama kerajaan persekutuan walaupun ada ketika teruji akibat perbezaan pandangan, namun boleh diselesaikan ibarat abang dan adik.
"Hubungan kita bermula dengan kerajaan Perikatan sebelum wujudnya kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga kerajaan hari ini iaitu Kerajaan Perpaduan MADANI yang kini bertambah baik dan kukuh walaupun kita semua maklum bahawa Kerajaan Perpaduan ini wujud atas nasihat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda di-Pertuan Agong untuk meleraikan kemelut politik ketika itu.
"Keakraban hubungan Sarawak dan persekutuan terbukti apabila Perdana Menteri kesepuluh (PMX) sanggup mendengar, berbincang dan seterusnya merangka apa sahaja yang dihasrat di peringkat negeri untuk disesuaikan di peringkat persekutuan.
"Insya-Allah pada 19 April ini, PMX akan datang ke Sarawak dan kementerian saya iaitu Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan menganjurkan program MADANI...namun sebelum itu beliau akan bertemu dengan kepimpinan negeri ini untuk berbincang dan merangka pembangunan Sarawak agar terus maju selari Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) Sarawak 2030.
"Apa sahaja fokus dan harapan kita di peringkat negeri akan dibawa ke peringkat persekutuan untuk diteliti dan diperhalusi yang akan dimasukkan dalam RMK13 terutama sama ada dalam pembangunan fizikal, modal insan mahupun apa sahaja perkara yang memerlukan untuk diselesaikan dalam forum itu nanti.
"Dengan pendekatan itu, saya rasa ia bukti komitmen dan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sarawak dan persekutuan terjalin kukuh," kata Fadillah.
|