
RASMI: Muhammad Hafizuddeain menyempurnakan acara perasmian Pos Tambulanan di Tawau.
TAWAU: Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan menyempurnakan acara perasmian Pos Tambulanan di Tawau, Sabah diiringi Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi.
Kedudukan Pos Tambulanan yang strategik di Tawau akan memperkukuh kehadiran Tentera Darat Malaysia (TDM) di kawasan hadapan, bertindak sebagai zon penampan dan platform unjuran kuasa bagi operasi keselamatan.
Pembinaan Pos Tambulanan yang bermula sejak September 2023 berjalan serentak dengan pembinaan Pos Ladang Brantian, juga di Tawau dengan kedua-dua pos dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.
Inisiatif ini menyusuli kejayaan penyiapan Pos Felda Selatan di Kalabakan pada tahun lepas, yang juga telah dirasmikan oleh PTD pada 30 Disember 2024 dan kini beroperasi sepenuhnya.
Konsisten dengan visi Angkatan Masa Hadapan TDM, Pos Tambulanan mengintegrasikan teknologi termaju pengawasan merangkumi sistem komunikasi taktikal bersepadu untuk integrasi operasi, platform pengawasan dron dan sistem tenaga solar autonomi untuk kelangsungan operasi.
Perluasan kehadiran strategik TDM di Sabah juga meliputi pembangunan empat pos keselamatan di Pulau Sebatik yang telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), dengan satu pos di Sungai Kuning bakal menjadi Pangkalan Operasi Hadapan TDM.
Turut berlangsung sewaktu acara perasmian adalah acara menanam pokok oleh PTD bagi memperingati detik bersejarah dan penyerahan ‘Beg Raya’ kepada Pegawai dan anggota di pos tersebut sebagai bukti keprihatinan kebajikan pucuk pimpinan TDM.
|